22.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 26, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kakak, sekutu Jho Low diarah bayar hampir AS$2.8 bilion kepada 1MDB

    Shopee Sale

    Kakak Jho Low dan sekutu rapatnya, Low May Lin serta Tan Kim Loong, hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar hampir AS$2.8 bilion kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai liabiliti atas penglibatan mereka dalam pengubahan wang haram dana syarikat itu.

    Hakim Mahazan Mat Taib berkata firma pelaburan negara itu telah berjaya membuktikan kes mereka terhadap kedua-dua tertuduh atas imbangan kebarangkalian.

    Dia berkata keputusan itu dibuat berikutan perbicaraan penuh tanpa bantahan yang diadakan pada 6 Oktober. Walaupun kedua-dua tertuduh tidak hadir atau diwakili peguam, prosiding diteruskan dengan tiga saksi plaintif dipanggil untuk memberi keterangan, mengikut Aturan 35 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

    Menerusi bukti dokumen yang dikemukakan di mahkamah, yang tidak dibantah oleh defendan, mahkamah mendapati terdapat kaitan antara pasangan itu dengan Jho Low (Low Taek Jho), serta bekas perdana menteri Najib Razak yang mempunyai kawalan penuh berhubung keputusan kewangan utama syarikat, menurut Perkara 117 perlembagaan syarikat.

    "Walaupun Jho Low tidak memegang jawatan rasmi, dia bertindak sebagai proksi Najib dan pengarah bayangan (shadow director).

    "Arahan beliau dipatuhi oleh lembaga dan pihak pengurusan atasan dan dia dianggap mewakili Najib, dengan banyak transaksi utama dirangka dan dilaksanakan melalui entiti yang dikawal oleh Jho Low dan rakan-rakannya.

    "Dana yang sepatutnya untuk projek nasional dengan pantas dilencongkan ke struktur luar pesisir yang dikawal oleh Jho Low," kata hakim itu.

    Hakim itu menambah bahawa Tan, yang juga dikenali sebagai Eric Tan, bertindak sebagai saluran penting dalam pengubahan dan pelapisan dana yang dicuri, dan bukti dokumen menunjukkan dia menerima AS$2.79 bilion yang diselewengkan daripada syarikat.

    Bagi May Lin, mahkamah mendapati dia menerima AS$809,319 secara terus ke dalam akaun peribadinya melalui empat pindahan daripada bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng.

    MENARIK:  Muhyiddin umum 12 parti pembangkang bentuk gabungan longgar

    "Pindahan ini adalah secara ihsan, tidak mempunyai sebarang alasan komersial, dan berasal daripada dana yang disalahgunakan melalui struktur Good Star.

    "Sebagai kakak Jho Low, perananannya sebagai benefisiari peribadi dana yang disalurkan secara haram adalah sejajar dengan corak penyembunyian yang berasaskan keluarga," katanya.

    Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua defendan membayar kos sebanyak RM500,000 kepada 1MDB.

    1MDB dan empat anak syarikatnya – Global Diversified, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited – memfailkan saman bernilai AS$3.7837 bilion terhadap Jho Low, bapanya Hock Peng, ibunya Goh Gaik Ewe, kakak May Lin, adik lelaki Taek Szen, dan rakan kongsi yang didakwa, Eric Tan Kim Loong, pada tahun 2021.

    Berdasarkan writ saman, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low; dan AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion setiap seorang daripada Jho Low dan Tan; dan AS$325 juta daripada Jho Low dan bapanya.

    1MDB Global Investments Limited menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Tan, dan AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Tan.

    Plaintif juga menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin dan Jho Low dan AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Tan berhubung pembelian barang kemas dan keuntungan rahsia, selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Tan, Hock Peng, dan Taek Szen.

    Walau bagaimanapun, syarikat-syarikat tersebut memperoleh penghakiman ingkar (JID) pada tahun 2022 terhadap Jho Low, bapanya Hock Peng dan abangnya Taek Szen, diikuti oleh satu penghakiman terhadap ibunya, Goh, pada tahun 2024.

    Penghakiman ingkar bermaksud mahkamah memutuskan untuk memihak kepada 1MDB kerana defendan tidak memberi respons terhadap tuntutan tersebut.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah