Sumber dari pengurusan tertinggi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata agensi itu hanya terlibat dengan urusan pemberian taraf kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Sumber menegaskan ia tidak terlibat dengan sebarang ‘dokumen palsu’ seperti yang didakwa pengurusan tertinggi bola sepak dunia, Fifa.
"Kita kena faham, bila pemberian taraf kewarganegaraan kepada pemain bola sepak sudah pasti ia melibatkan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Dan bila kata FAM, sudah pasti ia satu organisasi yang mempunyai reputasi yang tinggi.
"Dalam kes tujuh pemain warisan, tugas JPN adalah untuk memeriksa sama ada mereka layak untuk mendapatkan kewarganegaraan atau tidak berdasarkan perlembagaan negara.
"Selepas itu, mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, JPN meluluskan dan memaklumkan kepada FAM. Dan segala dokumen berkaitan kelulusan diserahkan kepada FAM.
"Maka, saya boleh pastikan segala dakwaan Fifa bahawa para pemain ‘memperoleh dokumen yang dipalsukan’ atau dengan sengaja berusaha untuk mengelakkan peraturan kelayakan tidak melibatkan JPN," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Sumber itu mengulas isu tujuh pemain warisan negara yang mewakili Harimau Malaya yang dikenakan sekatan oleh Fifa selepas didakwa mengemukakan ‘dokumen palsu’ untuk kelulusan mewakili negara.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Fifa mendenda FAM sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution memberitahu bahawa seramai 23 pemain bola sepak telah diberi taraf kewarganegaraan Malaysia melalui proses naturalisasi sejak tahun 2018 termasuk tujuh pemain warisan negara.
Katanya semua kelulusan ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan.
Sementara itu, sumber turut menafikan tanggapan pihak yang melihat JPN seolah-olah bersuhabat dalam isu berkenaan.
"Seperti saya kata, pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan melibatkan pentadbiran tertinggi negara. Menteri, FAM dan juga mungkin dibincang di mesyuarat jemaah kabinet.
"Jadi, siapa di JPN berani bersuhabat dengan mana-mana pihak memberi kewarganegaraan berdasarkan dokumen palsu seperti didakwa," katanya.
Fifa sebelum ini mendedahkan ia telah memperoleh dokumen kelahiran asal datuk atau nenek pemain berkenaan, yang bercanggah dengan dokumen yang didakwa telah dipalsukan yang dikemukakan oleh pihak Malaysia.
Ia juga menimbulkan keraguan terhadap pengesahan JPN terhadap pemain warisan Malaysia.