Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan menuduh Setiausaha Agung parti, Azmin Alijh mengeluarkan surat pekeliling tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), dan menyifatkannya sebagai “usaha terdesak” menggunakan kuasa di tengah pengaruhnya yang merosot.
Dalam kenyataan hari ini, ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendakwa surat pekeliling bertarikh hari ini tidak pernah diluluskan oleh MPT Bersatu.
“Setakat yang saya tahu, tidak ada mana-mana mesyuarat MPT meluluskan pekeliling ini. Mungkin Azmin perkenalkan prosedur baru pengeluaran pekeliling yang tidak lagi perlu diangkat ke MPT terlebih dahulu. Tak apalah. Mereka berkuasa,” dakwanya.
“Pekeliling ini adalah usaha terdesak oleh Azmin. Apabila tiada pengaruh dan tiada sokongan, maka yang tinggal hanyalah kuasa untuk diperguna,” katanya lagi.
Terdahulu, Malaysiakini menyiarkan laporan berkenaan dokumen dalaman tersebut, yang disahkan oleh seorang ketua bahagian Bersatu yang menerimanya.
Surat itu antara lain menyatakan: di peringkat bahagian, cawangan dan sayap-sayap diberikan peringatan untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan dan perbincangan dengan mana-mana pihak dan individu yang telah dijatuhkan hukuman oleh lembaga disiplin parti.
“Adalah menjadi satu kesalahan jika mana-mana ahli parti bersubahat dengan pihak di luar parti, termasuk mereka yang telah dijatuhkan hukuman oleh parti, untuk menghasut ahli-ahli parti dan membuat kenyataan yang mencemar nama baik dan maruah parti,” menurut surat itu.
‘Tidak pernah berlaku’
Wan Saiful mendakwa sekatan seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Bersatu.
“Tidak pernah dalam sejarah Bersatu, ahli-ahli dihalang bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin. Lagipun keputusan belum dimuktamadkan oleh Lembaga Rayuan,” katanya.
Dia mempersoalkan mengapa Azmin tidak membangkitkan peraturan sama terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin yang sebelum ini pernah bertemu dengan bekas pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz Mahathir – kedua-duanya dilucutkan keahlian parti pada 2020.
“Kalau benar tak boleh bertemu mereka yang dikenakan tindakan disiplin, kenapa Azmin tak sebut perkara ini kepada Muhyiddin semasa Munyiddin sendiri bertemu Mahathir dan Mukhriz?
“Adakah dalam Bersatu sekarang peraturan parti tidak terpakai kepada Muhyiddin dan orang sekelilingnya?
“Atau adakah peraturan baru ini dikeluarkan tergesa-gesa hingga terlupa bahawa presiden sendiri melanggarnya?” soalnya lagi.
Ketika dihubungi untuk penjelasan lanjut, Wan Saiful memberitahu Malaysiakini yang dia merujuk kepada sesi meja bulat pada 14 Oktober lalu yang dipengerusikan oleh Muhyiddin, dan turut dihadiri Mahathir serta Mukhriz yang mewakili Pejuang, selain beberapa parti komponen PN dan parti bukan kerajaan untuk membincangkan pembentukan pembangkang yang bersatu.
Pada 14 Oktober lalu, Bersatu telah memecat Wan Saiful serta empat ketua bahagian parti, dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.





