Seorang warga Nepal yang pernah diusir dari Malaysia pada 2016 atas dakwaan berkaitan pembiayaan kumpulan pengganas Isis atau Daesh didakwa kembali menjejakkan kaki ke negara ini.
Mahendra Jung Shah (gambar utama) bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut ketika dihubungi Malaysiakini.
Menurutnya, dia tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti keganasan.
“Saya ditahan selama 14 hari (ketika itu ) untuk siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sebelum dihantar pulang ke Nepal.
“Jika saya benar-benar seorang pengganas, saya pasti sudah didakwa di bawah undang-undang ketat Malaysia,” katanya.
Shah turut mendakwa pihak berkuasa Nepal dan Interpol Nepal telah membersihkan namanya selepas dia pulang ke negara asal.
“Sekembalinya saya ke Nepal, pihak berkuasa tempatan dan Interpol Nepal mengesahkan saya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.

Bagaimanapun, Shah enggan mengemukakan sebarang dokumen bagi menyokong dakwaan tersebut.
Ketika ditanya lanjut mengenai status kemasukannya ke Malaysia, Shah menegaskan perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya.
“Saya bukan imigresen. Soalan ini perlu ditanya kepada jabatan yang berkaitan.
“Saya tidak boleh menjawab apa-apa mengenai kes DP10 (visa profesional) kerana itu bukan hak saya untuk jelaskan,” katanya.
Ditahan E8, diusir pada 2016
Berdasarkan laporan media sebelum ini, Shah ditahan Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada 19 Ogos 2016 sebelum dihantar pulang ke Nepal pada 2 September tahun sama.
Ketua polis negara ketika itu, Khalid Abu Bakar, mengesahkan tangkapan tersebut.
“Kami mendapati dia mengendalikan pusat hiburan dan sebuah hotel. Kami percaya dia bertanggungjawab memalsukan dokumen untuk memudahkan perjalanan pengganas,” kata Khalid.

Duta Nepal ke Malaysia pada waktu itu, Niranjan Man Singh Basnyat, pula berkata Shah ditahan kerana disyaki terlibat dalam pengeluaran visa palsu Malaysia kepada kira-kira 140 warga asing, termasuk 36 warga Nepal.
Mengulas dakwaan tersebut, Shah mendakwa ia berpunca daripada dendam peribadi bekas duta berkenaan selepas dia memfailkan aduan rasuah terhadap diplomat itu di Nepal.

“Saya percaya dakwaan ini adalah hasil dendam peribadi seorang bekas duta yang saya laporkan atas kes rasuah.
“Dia cuba memfitnah saya dengan mengaitkan saya dengan Isis — sebuah organisasi yang saya tidak kenal dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengannya,” katanya.
Visa profesional dan tanda tanya besar
Sumber imigresen mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Shah kini kembali ke Malaysia menggunakan visa profesional (DP10), yang lazimnya dikeluarkan kepada individu berkemahiran tinggi atau pemegang jawatan pengurusan kanan.
“Di bawah undang-undang Malaysia, warga asing yang dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan sepatutnya dilarang memasuki negara ini seumur hidup.
“Tetapi saya tidak pasti bagaimana dia boleh masuk semula. Kenyataan ketua polis ketika itu sangat jelas — dia dikaitkan dengan aktiviti keganasan,” kata sumber tersebut.
“Sebab itu persoalannya: bagaimana dia boleh terlepas dan masuk semula?” tambah sumber itu.





