Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan bahawa isu buli di sekolah perlu ditangani secara menyeluruh dengan mendidik dan bukan melalui tindakan hukuman semata-mata.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan kes buli juga perlu diberi perhatian dan kesedaran pada peringkat awal bagi memastikan perlindungan dan hak pelajar, khususnya yang masih di bawah umur.
“Sebab itu bagi saya pendekatan yang sekarang kita buat dalam KPM ialah pendekatan mendidik yang ramai tidak suka sebab kata (perlu) rotan sahaja YB. Senang saja orang cakap, tetapi tidak semudah itu.
“Kita boleh ambil tindakan seperti gantung atau buang sekolah, tetapi akhirnya pelajar ini tetap kembali ke sistem pendidikan di bawah KPM untuk dididik semula. Jadi, pendekatan hukuman semata-mata tidak menyelesaikan masalah,” katanya ketika merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, Penanti di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Fadhlina turut menjelaskan bahawa KPM bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu buli, termasuk yang diklasifikasikan sebagai kes jenayah.
Katanya, KPM akan mempergiat advokasi bagi mendidik pelajar tentang kesan buli, termasuk buli mental yang memberikan impak mendalam kepada kesejahteraan emosi mereka, khususnya selepas perkembangan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 (Akta A1750).
“Buli mental ini kesannya sangat mendalam dan boleh membawa kepada kesan-kesan yang lebih menakutkan dan merisaukan jika kita tidak kekang dari awal,” katanya.
-Bernama