Gabungan beberapa NGO — Bersih, Engage, ROSE, Tindak dan Projek Sama — menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya membenarkan rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia mengundi secara pos.
Mereka turut mendesak SPR memperluas akses pengundian dan memperincikan rancangan untuk melaksanakan undi awal atau undi pos, termasuk bagi pengundi yang berada di hospital serta penjara.
Dalam kenyataan bersama hari ini, lima NGO itu menggesa Anwar dan SPR menyokong cadangan agar rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung diberi hak mengundi melalui undi pos dalam pilihan raya negeri akan datang.
"PM Anwar Ibrahim dan SPR mesti menyatakan sama ada mereka, pada prinsipnya, menyokong hak pengundi Sabah yang berada di luar Sabah kerana bekerja atau belajar — sama ada di Semenanjung atau Sarawak — untuk mengundi melalui kemudahan undi awal atau undi pos.

"Hak yang sama sudah tentu harus juga dinikmati oleh pengundi Sarawak yang berada di Semenanjung dan Sabah dalam PRN Sarawak akan datang, yang mesti berlaku selewat-lewatnya pada April 2027.
"Hakikatnya, ramai pengundi Sabah dan Sarawak merantau ke Semenanjung atau Sarawak/Sabah kerana kekurangan peluang pekerjaan dan pendidikan di negeri sendiri,” kata gabungan NGO itu.
Menurut mereka, jika cadangan tersebut ditolak, SPR perlu memberi penjelasan kerana semua rakyat Malaysia — khususnya dari Sabah — berhak mengetahui sebabnya.
“Sekiranya SPR gagal melaksanakan reformasi pilihan raya penting ini, kami menyeru semua parti yang bertanding dalam PRN kali ini untuk berjanji dalam manifesto mereka komitmen menuntut Kerajaan Persekutuan menjamin hak mengundi bagi pengundi peranantau Sabah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Engage, Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE), Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (Tindak), serta Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek Sama).
Pada 9 Oktober lalu, Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, turut menggesa SPR membenarkan undi pos dalam pilihan raya Sabah sebagai langkah mengatasi kekangan sistemik yang dihadapi rakyat Malaysia dari Sabah yang tinggal di Semenanjung.
Hal sama disuarakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung (gambar bawah) yang menekankan bahawa kira-kira 400,000 rakyat Sabah kini menetap di Semenanjung Malaysia dan mereka berisiko terpinggir daripada proses pilihan raya.
Buat masa ini, terdapat dua kategori undi pos di Malaysia di bawah peraturan SPR — Kategori A dan Kategori B.

Bagi Kategori B, rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dibenarkan mendaftar sebagai pengundi pos.
Namun bagi Kategori A, undi pos dalam negara hanya terhad kepada lima kumpulan iaitu: ahli SPR, petugas pilihan raya, petugas media yang membuat liputan pilihan raya, serta anggota polis dan tentera yang tidak dapat hadir mengundi pada hari pengundian awal yang ditetapkan.
Undi awal dan undi pos
Empat NGO tersebut menyatakan harapan agar SPR memperkenalkan undi awal atau memperluas kemudahan undi pos bagi pengundi luar kawasan dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang.
“Sekiranya tidak dapat dilaksanakan kali ini, SPR perlu memberikan jadual masa dan peta perjalanan ke arah pelaksanaannya,” tegas mereka.
Mereka turut menggesa SPR supaya segera memperincikan rancangan jangka sederhana dan panjang untuk menambah baik akses kepada pengundian — termasuk bagi pengundi di hospital dan penjara — memperluas kemudahan undi pos, serta meneroka kaedah lain yang telus dan inklusif.
“Hak untuk mengundi mesti dijamin sepenuhnya kepada semua warganegara tanpa mengira lokasi.
“Sebarang usaha untuk memudahkan rakyat menunaikan hak demokrasi perlu disokong dan diperkukuh berasaskan prinsip ketelusan, keadilan dan kesaksamaan,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pilihan raya sebelum ini, pengkritik menegur kelewatan penghantaran kertas undi pos dari luar negara — menyebabkan NGO serta sukarelawan terpaksa membantu menghantar ribuan undi balik ke Malaysia bagi memastikan ia diterima sebelum hari pengundian.
Pada 6 Oktober lalu, Ketua Menteri sementara Sabah, Hajiji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah, membuka laluan kepada pilihan raya negeri ke-17.
SPR dijadual bermesyuarat pada 16 Oktober bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.