
Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) bakal menghasilkan filem sulung berjudul Polong selepas melihat kepada kepesatan industri perfileman, di mana genre seram sering menjadi pilihan penonton.
Polong, kisah dendam

Menurut pengarah Polong, Zulkarnain Azhar, dia tertarik untuk mengarahkan filem berkenaan kerana ia menampilkan sebuah jalan cerita yang mempunyai tarikan tersendiri.
Antara tarikan dalam naskah ini, Polong adalah sebuah filem yang bertemakan dosa silam, legasi serta akibat yang tidak dapat dielakkan kesan daripada perbuatan masa lampau terutama sekali dengan mengamalkan ilmu hitam.
Ia bukan sekadar sarat dengan elemen seram, tetapi menjadi simbolik kepada kegelapan yang kita bawa dalam diri kita sendiri, sama ada melalui dosa masa lalu atau trauma yang tidak dapat diselesaikan.
Difahamkan, Polong mengisahkan tentang kisah seram berkait tentang balas dendam yang mengangkat cerita Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.
Genre seram pilihan penonton

Sementara itu, penerbit eksekutif, Onn Norshal Hamzah berkata, pihaknya memilih cerita seram sebagai projek sulung syarikat berkenaan kerana filem genre sedemkian selalu mendapat sambutan hangat.
Katanya, filem seram menjadi pilihan untuk projek pertama GSPSB susulan berdasarkan kepada keyakinan syarikat terhadap pemintaan pasaran yang tinggi terhadap genre tersebut.
Pemilihan Polong telah melalui satu proses diskusi yang sistematik dengan melihat kepada kekuatan komersil yang tinggi, selain dijangka mampu memberikan impak saingan dalam pasaran filem tempatan dan luar di pawagam.
Dengan kualiti penceritaan, penerbitan dan kuasa pasaran yang kuat bagi genre seram, pihak GSPSB melalui filem Polong yakin dengan kemamampuan kami untuk menawarkan kelainan dari segi karya dengan kekuatan yang merangkumi semua aspek penerbitan.
Bercerita mengenai pemilhan Zulkarnain selaku pengarah, Onn menyatakan pengalaman pastinya menjadi faktor utama.
Ujarnya, ia berdasarkan kejayaan pengarah tersebut menerusi beberapa buah filem yang mendapat sambutan hangat sebelum ini seperti Takluk, Air Force dan J Revolusi.
Dengan pemilihan Zulkarnain selaku teraju utama filem ini, kami yakin filem ini pasti menjadi satu lagi naskhah yang ditunggu oleh pencinta filem tempatan yang sentiasa dahagakan karya bertenaga dan komersil.
Penglibatan 10 Star Cinemas Sdn Bhd sebagai pengedar dan agen pemasaran filem ini akan menjadi satu langkah strategik untuk mempersiapkan filem ini sebelum memasuki pawagam.
Kami percaya 10 Star Cinemas Sdn Bhd yang memiliki rangkaian pawagam komuniti serta pasukan profesional pengedaran berpengalaman mampu mengangkat filem ke destinasi pasaran yang disasarkan.
Polong akan menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, June Lojong dan Nadiya Nisaa serta akan memulakan penggambaran pada Mei depan.





