Keindahan dan kemegahan tradisi bangsa Bajau Samah dari Sabah bakal menjadi tumpuan dunia apabila ia diangkat menerusi kostum nasional rasmi Malaysia di pertandingan Miss Universe 2025 yang akan berlangsung di Thailand, bulan depan.
Artikel Berkaitan: Chloe Lim Dinobatkan Sebagai Miss Universe 2025
Simbol kekayaan budaya

Kostum berjudul ‘The Majestic of Anjung Serimpak’ hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Mell Sulaiman, bakal digayakan oleh Miss Universe Malaysia 2025, Chloe Lim, di pentas berprestij ratu cantik itu nanti.
Mell menyifatkan peluang mereka bentuk kostum berinspirasi masyarakat Bajau Samah ini sebagai satu penghormatan besar terhadap warisan budaya yang begitu bernilai.
Anjung Serimpak bukan sekadar busana, tetapi simbol kekayaan budaya, keanggunan serta keagungan seni warisan yang diwarisi turun-temurun dalam masyarakat ini.
Rekaan ini menonjolkan elemen keemasan, motif etnik dan kehalusan seni kraftangan yang mencerminkan kemegahan budaya mereka.
Setiap perincian dihasilkan dengan penuh teliti untuk menzahirkan keindahan seninya.
Menurut Mell lagi, dia berharap ‘The Majestic of Anjung Serimpak’ akan berdiri megah di pentas Miss Universe nanti sebagai lambang keagungan budaya Malaysia yang kaya dengan tradisi.
Kostum ini mengangkat keindahan sejarah dan kehalusan budaya masyarakat Bajau Samah, selain menggambarkan pertalian erat etnik itu dengan lautan serta warisan mereka sebagai pelaut yang mahir.
Menariknya, rekaan tersebut menggunakan Serimpak tembaga berbentuk kapal layar, digabungkan dengan kain Selisir hasil sulaman tangan artisan tempatan. Ia turut dilengkapi elemen tradisional seperti tali pinggang Siupu dan aksesori Duang Sama sebagai pelengkap utama.
Hargai keaslian diri

Sementara itu, Chloe Lim meluahkan rasa teruja dan berbesar hati apabila diberi peluang memakai kostum yang benar-benar mencerminkan akar budaya rakyat Malaysia serta semangat kemajmukan negara.
“Ia mengingatkan kita agar terus menghargai keaslian diri dan kepelbagaian yang membentuk identiti rakyat Malaysia. Saya akan berikan yang terbaik untuk membanggakan negara di pentas antarabangsa.
Saya juga bertekad untuk mewakili Malaysia dengan penuh keanggunan dan beradab, sambil membuktikan bahawa kecantikan, belas ihsan dan intelek mampu berjalan seiring
The post Chloe Lim Miss Universe 2025 Bakal Peragakan Kostum Tradisi Bajau Samah Di Thailand first appeared on OHBULAN!.





