31.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 11, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    “Bukan Sekadar Baca, Ada Ratusan Anotasi Saya Tulis Di Skrip” – Kenapa Sissy Imann Bawa Perspektif Berbeza Sebagai Hos AJL?

    Shopee Sale

    Ramai menyangka tugas seorang hos hanya bermula apabila kamera mula merakam dan skrip berada di tangan. Namun bagi Sissy Imann, persiapan mengendalikan pentas terbesar muzik tanah air sebenarnya bermula jauh lebih awal.

    Bagi penyanyi, pemuzik dan pengacara itu, mengendalikan Anugerah Juara Lagu (AJL) bukan sekadar memperkenalkan penyanyi atau mengumumkan pemenang. Setiap lagu mempunyai kisah, setiap komposer mempunyai cerita dan setiap penulis lirik mempunyai sebab mengapa karya itu dihasilkan.

    ARTIKEL BERKAITAN: Galas Tanggungjawab Jadi Hos, Sissy Imann Minta Diberi Peluang – ‘Saya Faham Akan Ada Reaksi Pelbagai’

    ARTIKEL BERKAITAN: Sherry Alhadad Puji Naz Rahman & Sissy Iman – Sangat ‘Classy’, Mereka Tahu Apa Yang Perlu Dicakapkan’

    Buat kajian sendiri, ada ratusan anotasi di skrip

    Kepercayaan yang diberikan buat kali kedua itu juga tidak mengubah cara Sissy membuat persiapan. Baginya, skrip hanyalah titik permulaan. Selebihnya, dia akan meneliti setiap helaian, membuat kajian sendiri dan mengolahnya mengikut gaya penyampaian yang lebih dekat dengan dirinya.

    Bagi kebanyakan orang, skrip mungkin sekadar teks untuk dibaca. Namun bagi Sissy, setiap helaian itu ialah ruang untuk memahami cerita di sebalik lagu sebelum dibawa ke pentas.

    “Ramai tak tahu, bila saya dapat skrip, saya akan buat anotasi sendiri. Skrip itu saya olah supaya lebih dekat dengan cara saya bercakap. Memang banyak nota, rasanya ratusan anotasi yang saya tulis sebelum naik ke pentas.”

    Apa yang membezakan Sissy daripada kebanyakan pengacara ialah latar belakang muziknya sebagai anak seni yang aktif di studio rakaman. Pengalaman itu membuka ruang untuk dia mengenali ramai komposer dan penulis lirik secara peribadi, sekali gus memahami cerita yang tidak selalu dikongsi kepada umum.

    Menurut Sissy, hubungan itu sering membantunya memberi input kepada pasukan produksi mengenai perkara yang wajar diberi perhatian sepanjang siaran langsung.

    “Ada perkara yang orang luar tak tahu. Saya bekerja dengan ramai komposer dan penulis lirik di studio, jadi saya tahu cerita mereka. Kadang-kadang ketika mesyuarat produksi pun saya akan kongsi perkara yang patut diketengahkan.”

    Bagi pelantun lagu Pesan Ayahanda itu, memahami individu di sebalik sesebuah karya sama pentingnya dengan mengenali penyanyi yang bakal mempersembahkannya. Pengalaman itulah yang disifatkan membantu dirinya membawa naratif yang lebih dekat dengan penonton.

    Jika tahun lalu tekanannya hadir kerana mahu membuktikan dirinya layak mengendalikan AJL, kali ini cabarannya berbeza. Selepas menerima pelbagai reaksi ketika diumumkan sebagai hos AJL 39, Sissy sedar jangkaan penonton kini semakin tinggi.

    “Tahun lepas saya rasa perlu buktikan yang saya boleh buat. Tahun ini pula orang sudah tahu saya boleh mengacarakan AJL, jadi mereka tentu mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada saya. Itu yang membuatkan tekanannya berbeza.”

    Sudah ada keserasian dengan Naz Rahman

    Menurut Sissy, keserasian bersama Naz Rahman juga menjadi antara faktor yang membuatkan dirinya lebih yakin untuk kembali mengendalikan pentas berprestij itu.

    “Apabila digandingkan sekali lagi dengan Abang Naz, saya sudah faham cara kerja dan rentak kami. Jadi saya rasa lebih mudah untuk memberikan persembahan yang lebih baik kali ini.”

    Walaupun semakin dikenali sebagai pengacara, Sissy tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa impian untuk berdiri di pentas AJL sebagai penyanyi masih tersimpan kemas.

    MENARIK:  Puteri Sarah Marah Kerana Dikecam Sebagai Geng 'Secondhand' Kerana Block Kita

    Baginya, perjalanan setiap anak seni tidak pernah sama. Ada yang sampai ke destinasi dengan cepat, ada juga yang perlu melalui jalan yang lebih panjang sebelum menemukan rezeki masing-masing.

    “Saya anggap semua ini sebagai takdir. Ada orang jalannya lurus, ada orang perlu melalui banyak selekoh. Mungkin itu cara saya belajar dan menjadi lebih matang.

    “Sudah tentu saya masih berharap suatu hari nanti dapat bertanding di AJL sebagai penyanyi. Tetapi buat masa ini, saya percaya inilah rezeki yang Allah berikan dan saya mahu lakukan sebaik mungkin.”

    Mengimbas kembali perjalanan kerjayanya yang pernah melalui pelbagai kritikan serta perubahan dalam dunia pengacaraan dan nyanyian, Sissy memilih untuk melihat semuanya sebagai sebahagian daripada proses membina diri.

    “Mungkin perjalanan saya tidak begitu laju, sama ada sebagai penyanyi atau pengacara. Tetapi saya dapat melihat perkembangan itu sedikit demi sedikit. Sebab itu saya sentiasa bersyukur dengan setiap peluang yang diberikan.”

    Mungkin Sissy Imann belum menjejak pentas AJL sebagai finalis. Namun sebagai hos, pengalaman bertahun-tahun berada di belakang tabir industri muzik memberinya satu kelebihan yang sukar dipelajari hanya melalui skrip. Dan mungkin itulah perspektif yang membuatkan kehadirannya di pentas AJL terasa berbeza.

    The post “Bukan Sekadar Baca, Ada Ratusan Anotasi Saya Tulis Di Skrip” – Kenapa Sissy Imann Bawa Perspektif Berbeza Sebagai Hos AJL? first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah