Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak meluahkan rasa hiba apabila masih belum menerima bayaran tertunggak daripada sebuah stesen televisyen walaupun bapanya, Azmi Deris telah menghembuskan nafas terakhir pada Isnin.
Artikel Berkaitan: Bapa Amir Raja Lawak Meninggal Dunia – ‘Terima Kasih Pada Yang Mendoakan’
Belum terima bayaran

Memetik laporan Sinar Harian, Amir berkata, dia sebelum ini amat terdesak untuk mendapatkan baki bayaran berjumlah RM18,000 bagi menampung kos rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.
Perjuangan untuk dapatkan duit itu masih belum membuahkan hasil. Saya tak fikir apa-apa tindakan lagi, cuma harap pihak berkenaan segera melunaskan bayaran.
Sebelum ini saya sangat perlukan duit untuk abah, termasuk beli katil dan kelengkapan rawatan.
Anak sulung daripada lima beradik itu bagaimanapun tetap bersyukur apabila pelbagai pihak sudi membantu meringankan beban keluarganya.
Antaranya termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, pimpinan tempatan serta orang ramai.
Dalam pada itu, Amir memberitahu, dia sepatutnya menghadiri sidang media Muzikal Lawak Superstar di Kuala Lumpur pada Selasa selain menerima tawaran berlakon filem bersama Prof. A. Razak Mohaideen.
Insya-Allah saya tetap akan terus bekerja. Walaupun tinggal di Kelantan, saya sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur jika ada peluang rezeki.
Sebagai anak, saya puas hati dapat menjaga abah yang diuji dengan kanser usus tahap empat sebaik mungkin.
Sebelum akhir hayatnya, abah minta makan nasi kerabu. Saya tunaikan, walaupun dia hanya mampu menjamah sesuap dua saja.
Terdahulu, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 10.52 malam Isnin di Hospital Pakar USM Kubang Kerian
Jenazah disolatkan pada jam 9.15 pagi Selasa dan selamat dikebumikan kira-kira jam 10.15 pagi.
Terdahulu, media melaporkan Amir terpaksa ‘mencairkan’ salah satu aset miliknya, iaitu kereta Proton Juara, bagi mendapatkan wang segera susulan kegagalan stesen televisyen terbabit melunaskan pembayaran.
Sumber: Sinar Harian
The post Ayah Sudah Meninggal Dunia, Amir Raja Lawak Sedih Bayaran Tertunggak Masih Belum Terima first appeared on OHBULAN!.