Mahkamah Sesyen Sepang hari ini mendenda seorang warga emas selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menggunakan aplikasi Facebook miliknya pada 8 Feb lalu.
Johari Ismail, 67, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi akaun Facebook Johari Ismail dengan niat menyakiti hati orang lain.
Lelaki terbabit didakwa memuat naik hantaran bersifat kandungan palsu yang diletakkan untuk tontonan umum dengan mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan dokumen tambahan melibatkan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Hantaran berkenaan kemudian dilihat pasukan siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di MCMC Tower 1, Jalan Impact, Cyberjaya, pada jam 12.59 tengah hari, 9 Feb.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 dan boleh dihukum mengikut seksyen 233 (3) akta sama.
Akta itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika disabitkan.
Faten Hadni Khairuddin bertindak sebagai timbalan pendakwa rakya MCMC, manakala Johari tidak diwakili peguam.
Faten Hadni memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada lelaki itu kerana telah menyebarkan berita palsu yang boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kerajaan dan Majlis Raja-Raja.
Katanya hukuman yang tinggi bukan sekadar pengajaran kepada orang kena saman (OKS) tetapi juga masyarakat agar tahu bahawa penyebaran berita palsu amat dibenci, harus ditegah dan dihentikan.
“Selepas OKS muat naik kandungan ini, ia tersebar secara meluas melalui aplikasi WhatsApp.
"Jadi saya mohon suatu hukuman yang menunjukkan betapa serius kesalahan ini agar orang awam lebih berhati-hati dan tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.
Hakim Ahmad Fuad Othman kemudian menjatuhkan hukuman denda RM30,000 terhadap tertuduh dan enam bulan jika gagal membayar denda.
Terdahulu, hakim turut menasihatkan bapa kepada empat anak itut agar menyedari lebih awal tentang kesan hantaran berkenaan kerana tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan kebencian kepada kerajaan malah masyarakat turut memandang rendah institusi diraja.