Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Presiden Upko Datuk Ewon Benedick berkata perkara itu bagaimanapun masih di peringkat perbincangan dan belum ada keputusan mengenainya setakat ini.
“Kita mahu PH mempunyai penonjolan kepada semangat Sabah dan sebab itu Upko telah mengemukakan syor untuk menggunakan logo sendiri dan saya percaya rakan-rakan pimpinan PH memahami apa yang telah disuarakan terkait dengan pemakaian logo ini.
“Bagi saya apabila ia masih dibincangkan, biarlah ia dibincangkan dan diputuskan dulu. Apabila sudah ada keputusan barulah kita maklumkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Francais Halal di Kota Kinabalu hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian ketika diminta mengulas khabar angin yang menyatakan Upko bakal bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Sabah akan datang.
Selain Upko, PH turut dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Sementara itu, Ewon yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian turut mengesahkan akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini.
Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas 16 Okt ini, bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan PRN berkenaan.