YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Kami, sekumpulan rakyat Sabah, merakamkan penghargaan atas kebijaksanaan politik dan keprihatinan YAB kerana, pertama, membatalkan sambutan Hari Malaysia, dan kemudian, tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 19 September sebagaimana yang banyak dispekulasikan.
Tiada acara – sama ada perayaan atau pilihan raya - wajar menghalang usaha bantuan bencana, ketika rakyat Sabah masih menghadapi kemelut banjir dan bencana alam sekitar yang telah meragut 14 nyawa serta menjejaskan ribuan isi rumah yang masih kehilangan tempat tinggal atau terkesan dengan kesusahan yang lain.
YAB, kami menyeru agar Kerajaan Negeri mengisytiharkan dengan jelas bahawa ia tidak akan membubarkan lebih awal penggal ke-16 DUN Sabah.
Langkah menangguhkan pembubaran telah menyelamatkan rakyat daripada kekacauan politik semasa bencana, namun rakyat Sabah masih tertanya-tanya bila sebenarnya mandat ini akan berakhir.

Sekiranya tarikh pembubaran diumumkan, Pilihan Raya Negeri ke-17 wajib diadakan dalam tempoh 60 hari. Ini akan membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera mengumumkan tarikh pengundian, polis, sekolah dan agensi kerajaan membuat persiapan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan semua parti politik menangguhkan kempen pilihan raya mereka ke tarikh yang bersesuaian.
Kami menyeru agar Sabah menjadi negeri pertama selepas Negeri Sembilan pada 2013 yang menamatkan penggal penuh.
Rakyat Sabah tidak sepatutnya terus dibebankan dengan teka-teki tarikh pilihan raya.
Memanjangkan ketidakpastian tarikh pilihan raya ketika bencana sedang berlaku adalah amat tidak bertanggungjawab. Ketidakpastian – sama ada disengajakan atau kerana teragak-agak – adalah paling tidak wajar dalam era VUCA (Volatiliti, Ketidakpastian, Kompleksiti, Ambiguiti) ini.
Dalam keadaan dunia kini yang berdepan dengan bencana alam yang kerap dan tidak menentu akibat perubahan iklim, kepimpinan haruslah bererti kejelasan, bukan kekeliruan.
Sabah boleh memimpin Malaysia dalam hal ini.

Kecuali sekiranya hilang keyakinan majoriti, atau wujud persetujuan rentas parti mengenai tarikh pembubaran awal, semua kerajaan harus menghormati mandat lima tahun penuh.
Ini akan memudahkan bukan sahaja ahli politik, jentera parti, SPR, pihak keselamatan dan penjawat awam, tetapi lebih penting lagi para pengundi – khususnya mereka yang tinggal di luar kawasan dan dinafikan kemudahan undi pos atau bentuk pengundian luar kawasan lain.
Kami yakin YAB bersetuju bahawa hak rakyat Sabah mesti mengatasi manuver politik. Kami juga menyeru semua parti politik menyokong keputusan untuk menamatkan penggal penuh. Kestabilan, kejelasan dan penghormatan kepada mandat rakyat mesti sentiasa diutamakan.
Hakikatnya, penggal DUN kini hanya tinggal beberapa minggu sebelum terbubar secara automatik. Tidak ada lagi ruang untuk kejutan politik atau langkah mengejut.
Kami mengambil maklum bahawa Speaker DUN mendakwa pembubaran automatik hanya akan berlaku pada 11 November [1]. Namun, memandangkan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah mengangkat sumpah pada 9 Oktober 2020 [2], yang menyebabkan berlangsungnya persidangan pertama mengikut Peraturan Tetap 14 DUN Sabah, pengiraan lain berdasarkan peruntukan perlembagaan menunjukkan penggal lima tahun akan berakhir pada 8 Oktober 2025.
Rakyat Sabah berhak mengetahui dengan jelas tanpa keraguan bila mandat wakil rakyat mereka berakhir dan bila DUN akan terbubar secara automatik. Apa-apa yang kurang daripada itu adalah penghakisan keyakinan terhadap proses demokrasi.
Sehubungan itu, kami juga memohon agar Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah membuat pengumuman rasmi mengenai tarikh akhir penggal ke-16 DUN Sabah, demi mengelakkan kekeliruan dan potensi pelanggaran perlembagaan.
[2] https://www.dailyexpress.com.my/news/159551/sabah-assembly-oath-taking-ceremonyoct-9
BEVERLY JOEMAN, IRWAN IDRIS, ANDI SURAIDAH, MARY ANNE BALTAZAR DAN WONG KUKUI ialah rakyat Sabah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.