Keputusan saya menyertai Parti Keadilan Rakyat lahir daripada keyakinan terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta hala tuju Kerajaan Perpaduan yang berasaskan reformasi, keadilan sosial dan integriti dalam pentadbiran.
Apa yang mendorong saya bukanlah peluang politik, tetapi tanggungjawab untuk menyumbang kepada sebuah perjuangan yang menegakkan prinsip dan memperjuangkan kepentingan rakyat.
Saya percaya reformasi perlu diterjemahkan melalui tindakan, bukan hanya kata-kata. Ia adalah amanah untuk memperkukuh keadilan sosial dan memulihkan semula kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Kesusahan rakyat menjadi nadi dalam mendorong perjalanan saya ini. Saya melihat sendiri bagaimana masih ramai yang bergelut untuk menampung kehidupan seharian, berdepan kos sara hidup yang meningkat dan peluang ekonomi yang tidak sekata. Keadaan ini menuntut pemimpin yang bukan sekadar faham angka dan dasar, tetapi benar-benar memahami denyut nadi rakyat di bawah.

Saya juga bukan datang daripada keluarga politik. Perjalanan saya dibentuk oleh pengalaman bekerja keras, melihat cabaran masyarakat dari dekat, dan memahami erti sebenar usaha serta kejujuran. Justeru, saya percaya kepimpinan tidak harus diwarisi, tetapi lahir daripada keikhlasan untuk berkhidmat dan membawa perubahan yang bermakna.
Malaysia kini memerlukan tindakan yang berkesan, bukan sekadar perbahasan. Fokus saya adalah memperkukuh jentera parti dan kerajaan agar dasar serta agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan cekap dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat di setiap lapisan. Dasar yang baik tidak bermakna apa-apa jika rakyat tidak merasainya. Oleh itu, penyampaian maklumat yang tepat dan berasaskan fakta amat penting supaya rakyat memahami dasar kerajaan dengan jelas, bukan terpengaruh dengan persepsi atau maklumat tidak sahih.
Negara ini berdiri atas kepelbagaian bangsa, agama dan budaya. Kepelbagaian itu bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang perlu diurus dengan adil dan berhemah. Saya berpegang teguh bahawa Islam mesti dipertahankan sebagai agama Persekutuan, selaras dengan Perlembagaan, tanpa menjejaskan hak serta kebebasan penganut agama lain. Keseimbangan ini menjadi asas kepada perpaduan dan kestabilan negara yang telah lama kita bina.

Bagi saya, perjuangan ini bukan sekadar tentang kedudukan atau pengaruh politik. Ia tentang membina semula kepercayaan, satu nilai yang paling berharga dalam sesebuah demokrasi. Keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak boleh dibina dengan kata-kata, tetapi melalui kejujuran, amanah dan keberanian membuat keputusan yang betul. Inilah nilai yang menentukan sama ada negara ini mampu melangkah ke hadapan dengan maruah dan keutuhan.
Masa depan negara memerlukan budaya politik yang lebih matang, menolak kepentingan peribadi dan meletakkan khidmat sebagai keutamaan. Kejayaan perlu diukur melalui hasil dan keberkesanan, bukan pujian semata-mata. Negara ini boleh bangkit semula daripada keletihan politik jika pemimpin yang diberi amanah berani berubah, berdisiplin dan ikhlas dalam tanggungjawab mereka.
Saya yakin Parti Keadilan Rakyat mampu menerajui usaha ini kerana ia lahir daripada perjuangan dan dibina atas prinsip yang kukuh. Ketika kerajaan berusaha memperkukuh ekonomi, mengawal inflasi dan menjaga kebajikan rakyat, tanggungjawab membina negara ini perlu turut dipikul bersama oleh rakyat.
Rakyat perlu berfikiran matang, menolak fitnah dan maklumat palsu, serta terus memainkan perananan secara membina. Perubahan tidak akan berlaku jika hanya diserahkan kepada pemimpin; ia mesti digerakkan bersama oleh rakyat sendiri dengan kesedaran dan semangat kebersamaan.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Dr Rais Hussin, YB Sim Tze Tzin dan YB Fuziah Salleh atas bimbingan dan bantuan mereka dalam proses ini.
MAHATHIR MOHD RAIS merupakan bekas setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.