28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, December 27, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Naratif politik, sosial dalam cat air

    Shopee Sale

    ULASAN | Dengan sengaja, pameran Siasah: Naratif Politik Dalam Cat Air yang berlangsung dari 22 Dis ini sehingga 22 Jan mendatang di Galeri Ruang Teduh, TRX Kuala Lumpur telah mempertembungkan dua kelompok artis.

    Satu kelompok terdiri daripada Juhari Said, Rafiee Ghani, Elly Nor Suria, Tajali Abdullah, Norlisham Selamat dan Che Ahmad Azhar yang tidak dikenali sebagai pelukis cat air, manakala di pihak lain pula ialah Zamri Ismail, Azman Nor, Calvin Chua, Ruzaidi M Nor, Lee Wee Xian, Hisham Salmin, Ryzalman Misran dan Syed Nahar.

    Kumpulan kedua itu memang terkenal sebagai penggerak dunia cat air negara.

    Satu macam ketegangan juga sengaja diwujudkan apabila pelukis batik, Padil Osman, dibawa masuk bersama.

    Ia bertujuan untuk meluaskan lagi skop perbincangan terhadap apa yang dikatakan sebagai cat air.

    Ruzaidi yang sekali-sekala bermain dengan catan batik juga diminta untuk menghasilkan karya melalui medium tersebut.

    Cat air – walaupun sering disalah faham sebagai medium yang ringan atau sekadar sesuai untuk latihan dan karya santai (atau lebih zalim dikatakan sebagai alat terapi di rumah-rumah ‘seri kenangan’) – sebenarnya memiliki potensi yang besar untuk membawa naratif yang mendalam, kritikal dan berlapis.

    Sifatnya yang telus, sukar dikawal dan tidak mudah diperbetulkan menuntut tahap kecekapan teknikal serta kepekaan konsep yang tinggi daripada pengkarya.

    Setiap sapuan bersifat muktamad dan menjadikan prosesnya satu tindakan yang penuh kesedaran dan risiko.

    Medium yang relevan, berdaya saing

    Pelukis yang terlibat dalam pameran ini ditugaskan untuk menghasilkan karya yang bertemakan politik.

    Dan dalam konteks pameran berkenaan, cat air tidak lagi berfungsi sebagai medium yang romantis atau dekoratif semata-mata. Sebaliknya ia dimanfaatkan sebagai alat perbincangan untuk membicarakan isu kuasa, ideologi, sejarah dan realiti sosial.

    Penggabungan pelukis dari latar disiplin dan kecenderungan medium yang berbeza turut mengukuhkan hujah bahawa cat air bukan medium yang statik atau terhad.

    Ia bersifat terbuka, anjal dan mampu menyerap pelbagai pendekatan visual serta percaturan naratif.

    Kehadiran unsur batik, misalnya, memperluas pemahaman terhadap cat air sebagai satu kepelbagaian, bukan kategori tertutup. Melalui pertembungan berkenaan, cat air dipaksa keluar dari zon selesa dan berfungsi sebagai medan eksperimen, pergeseran idea dan tafsiran semula.

    Justeru Siasah: Naratif Politik Dalam Cat Air bukan sekadar mempamerkan karya, tetapi menguji sejauh mana cat air mampu berdiri sebagai medium yang relevan, kritikal dan berdaya saing dalam perbincangan seni kontemporari.

    Sangat menghiburkan apabila semua karya itu dihimpunkan dan dipamerkan dalam satu ruang.

    Melaluinya, perbezaan pendekatan dalam penghasilan karya menjadi jelas lagi ketara. Pelukis-pelukis yang jarang menggunakan cat air kelihatan cukup selesa berkarya.

    Mereka tidak terperanangkap oleh kelaziman medium tersebut. Naratif yang telah lama mereka bawa dalam praktik seni masing-masing tetap diteruskan, seolah-olah cat air hanyalah satu alat baru untuk menyampaikan idea yang sedia matang.

    Dalam hal ini, medium tidak mendominasi, sebaliknya tunduk kepada kekuatan dan pengalaman visual pelukis sendiri.

    Perhatian khusus wajar diberikan kepada Norlisham Selamat dan Elly Nor Suria. Kedua-duanya memperlihatkan pendekatan yang berbeza tetapi sama-sama berkesan.

    Norlisham memilih laluan yang lebih eksperimental dengan menggunakan kotak terbuang sebagai permukaan. Ia merupakan pilihan yang memberi makna tambahan dalam konteks material dan naratif.

    Pendekatannya lebih bersifat material-based, apabila sokongan karya menjadi sebahagian daripada perbincangan.

    Karya saiz luar biasa

    Sebaliknya, Elly Nor Suria menumpu kepada penerokaan teknik dengan menggabungkan cat air dan pen berwarna serta kaedah tampalan.

    Jika Norlisham mengembangkan makna melalui bahan, Elly Nor Suria pula memperluas kemungkinan menggambar melalui teknik dan lapisan, menjadikan cat air lebih kontemporari.

    MENARIK:  Hujan tak turun selepas pembenihan awan di P Pinang

    Sementara itu, pelukis yang asli menggunakan cat air pula semakin selesa dan yakin dalam menghasilkan karya masing-masing. Azman Nor, misalnya, walaupun masih mengekalkan imej motosikal lama seperti dalam karya-karya popularnya, kali ini cuba meneroka naratif yang lebih padu dan tersusun.

    Justeru dia menjadikan setiap lukisan yang terhasil itu bercerita dengan lebih mendalam.

    Karya-karya Hisham Salmin pula menampakkan kematangan teknikal yang jelas, sambil terus membaca dan menyampaikan cerita yang – walaupun kelihatan sunyi –mampu memikat dan mengujakan penonton.

    Kedua-dua artis itu jelas menunjukkan perkembangan artistik yang tekal dan berani dalam meneroka batas kreativiti.

    Calvin Chua pula muncul dengan idea yang segar dan inovatif.

    Dia membangunkan karya cat air menggunakan kanvas sebagai permukaan, menjadikan karyanya luar biasa dari segi saiz jika dibandingkan dengan karya-karya cat air yang lain.

    Walaupun terdapat juga artis yang pernah menghasilkan karya cat air berskala besar, seperti Rafiee Ghani yang menghasilkan karya-karya di atas kertas bersaiz mega, kali ini Calvin sedikit lebih menonjol kerana keberaniannya menggunakan kanvas, sekali gus memberi dimensi baru dari segi tekstur dan persepsi visual.

    Pendekatan itu bukan sahaja memperluas had tradisional cat air, malah memberikan pengalaman estetik yang lebih dramatik kepada penonton, menekankan kreativiti dan kebebasan ekspresi.

    Zamri Ismail yang sering mengadakan pameran di dalam dan luar negara dan juga pempamer tetap sejak tiga tahun kebelakangan ini di Art Jakarta juga harus diberi perhatian.

    Karya-karyanya walaupun menggunakan 100 peratus cat air, ia tetap mengemukakan satu tema yang jauh ke hadapan.

    Begitu juga Padil. Untuk pameran ini dia cuba keluar dari dunia romantis karya-karya batik apabila memilih jalan yang lebih konseptual.

    Selain itu, Siasah: Naratif Politik Dalam Cat Air juga membuka ruang untuk refleksi terhadap hubungan antara medium dan konteks sosial.

    Cat air di situ bukan sekadar medium peribadi atau estetik, malah menjadi alat kritikal yang mampu menyoal tentang kuasa, realiti politik, dan sejarah masyarakat.

    Penonton diberi peluang untuk memahami bahawa cat air boleh menjadi medium naratif yang rumit, dengan sapuan warna membawa emosi, kontras, dan lapisan makna yang mendalam.

    Seni yang berpengaruh

    Pendekatan pelbagai disiplin yang dipamerkan turut menunjukkan bahawa medium tersebut boleh berinteraksi dengan pelbagai teknik lain tanpa kehilangan identiti.

    Percubaan dengan skala besar, permukaan tidak konvensional, dan gabungan teknik memperkukuh anggapan bahawa cat air adalah medium yang dinamik, aktif, lentur dan berdaya saing.

    Kesimpulannya, Siasah: Naratif Politik Dalam Cat Air berjaya menyingkap potensi sebenar medium cat air sebagai alat ekspresi yang kritikal, anjal, dan relevan dalam seni kontemporari.

    Dengan mempertemukan pelukis dari latar belakang dan kecenderungan medium berbeza-beza, pameran berkenaan menunjukkan bahawa cat air bukan sekadar medium ringan atau dekoratif, sebaliknya mampu membawa naratif politik, sosial, dan ideologi yang rumit.

    Percubaan terhadap bahan, teknik, lapisan, serta keberanian menggunakan permukaan dan saiz yang tidak terbiasa membuktikan bahawa medium tersebut boleh diolah secara bebas dan kreatif tanpa mengorbankan kedalaman konsep.

    Siasah: Naratif Politik Dalam Cat Air bukan saja memperluas skop pemahaman terhadap cat air, malah menegaskan bahawa medium itu relevan, berdaya saing, dan mampu berfungsi sebagai medan percubaan, perbincangan , serta tafsiran semula terhadap isu-isu kontemporari, menjadikannya satu medan seni yang hidup dan berpengaruh.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah