26 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 12, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Mahu main hoki, belajar dari Nor Saiful

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Dalam kancah sukan hoki, sudah beberapa kali skripnya hadir dengan nada sama – kita menginginkan posisi podium, khasnya dalam kejohanan jemputan antarabangsa atau pun saingan peringkat benua.

    Lazimnya, ia berakhir dengan nota kecewa. Bukan tidak mencuba, cuma kekurangan elemen kualiti dalam permainan.

    Sasaran oleh pengurusan pasukan mungkin dibuat atas beberapa sebab dengan sifat positif, antaranya mahu menyuntik keyakinan pada diri dan semangat sepasukan agar pemain tidak gentar berdepan lawan berstatus gergasi, umpamanya.

    Tidak salah pun kerana dalam hoki – atau apa acara sukan sekalipun – memang perlu ada sasaran mahu digapai. Tanpanya, sesuatu cabaran bagai bergerak tanpa arah.

    Ia turut menjadi panduan mencari tonik bagi mengapikan semangat ketika bakal berdepan gelora besar.

    Penulis setuju dengan ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini, yang berani dengan sasarannya menjelang saingan Kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) yang bermula di Stadium Hoki Taman Daya di Johor Bahru hari ini.

    “Sasaran kami adalah untuk berada di podium. Ia bukan sesuatu yang mudah. Namun, cita-cita amat penting untuk membentuk pasukan yang positif dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan disiar oleh Persekutuan Hoki Malaysia (MHC), baru-baru ini.

    Ayat dipilih itu – termasuk ‘cita-cita amat penting’ – sebenarnya membawa pengertian besar. Cuma kita bimbang anak didiknya itu kurang memahami mesej mahu disampaikan.

    Ujian pertama kepada anak didik Nor Saiful itu ialah apabila melayan Pakistan dalam perlawanan pembukaan kejohanan enam negara itu petang ini.

    Ikon inspirasi muda

    Lawan lain yang turut dijemput ke kejohanan edisi ke-13 itu ialah juara bertahan, Britain, Australia, New Zealand dan India.

    Malaysia muncul juara sulung kejohanan yang diperkenalkan pada 2011 selain naib juara pada 2013 dan meraih gangsa pada 2015 dan 2019.

    Tahun lalu, barisan pimpinan I Vikneswaran dipalit duka apabila menamatkan kempen di tempat tercorot.

    Semua pasukan – termasuk barisan ‘Young Tigers’ kita itu – mahu menjadikan SOJC ini untuk menilai dan mengukur kemampuan masing-masing sebelum menyahut cabaran dalam Piala Dunia Remaja di Chennai, India pada 28 Nov sehingga 10 Dis ini.

    Edisi kali ini bakal menyaksikan 24 pasukan beraksi buat julung kali.

    Sebelum kunjungan ke Tamil Nadu, Nor Saiful ada tugasan mencabar dengan kelompok pemain terpilih kali ini bagi cabaran SOJC. Namun, baginya, sifat mahu berjaya dan tampil berani tidak mungkin hilang daripada dirinya.

    Pengendali berasal dari Perak itu bukan calang-calang orang, malah merupakan ikon yang menjadi inspirasi generasi muda.

    MENARIK:  Lebih 400 majikan rayu KDN lanjutkan program rekalibrasi tenaga kerja

    Apa yang terbit dari mulut Nor Saiful harus hadir daripada pengalaman luasnya selaku bekas pemain penyerang prolifik pada era 1980-an dan 1990-an. Dia sudah merasai asam garam permainan dan mengerti mentaliti diperlukan.

    Wataknya tidak perlu dipersoal. Dia pernah menjelmakan aksi terbaik selaku pemain sayap dan pada ketika sama disuruh menjadi pemain bek kanan satu ketika oleh Paul Lissek suatu ketika dulu.

    Kedua-dua perananan itu didukung dengan cemerlang. Dia juga pemain yang gigih dengan tahap kecergasan tertinggi di kalangan rakan sepasukan lain.

    Semuanya itu menjadi bekalannya selepas meniti ranjau sukar dalam kerjaya hoki. Dari segi disiplin, Nor Saiful tidak pernah gagal. Berlatih dan terus berlatih untuk berjaya, membantu dirinya dan juga pasukan.

    Mungkin pemain remaja negara yang hadir di SOJC tidak banyak mengetahui betapa kelibat Nor Saiful pernah digeruni pasukan negara lain seperti Australia, Jerman, Belanda atau India.

    Dia kerap menyusahkan benteng lawan dengan larian padu dan rembatan bak peluru.

    Justeru ketua jurulatih Young Tigers itu mahu anak didiknya melangkah ke gelanggang dengan ciri-ciri sama. Dia yakin pada mereka. Dia tidak minta mereka menjadi juara tapi menyudahkan cabaran dengan keputusan terbaik dan persembahan terpuji.

    “Saya mahu pemain keluar daripada kepompong pasukan biasa dan buktikan mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan.

    “Kunci kejayaannya ialah keyakinan diri, mengelak kesilapan dan memanfaatkan peluang menjaringkan gol,” katanya.

    Rasa macam nak lihat Nor Saiful ‘kembali turun ke padang astroturf’ pula bantu serangan anak didiknya.

    Tapi, apakah pemain remaja digilapnya itu dapat membuktikan mereka ada ramuan seperti diminta oleh pengendali bersemangat waja itu?

    Jangan hanya mendengar saja tetapi gagal menyerap baik pesanan dan tunjuk ajar itu. Secara terus terang kita sendiri pun belum pasti destinasi pasukan ini.

    Cuma kita harap mereka tidak mengecewakan ketua jurulatih pasukan.


    V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah