Warga Sabah yang masih bergelut untuk mendapatkan kewarganegaraan meluahkan rasa kesal terhadap apa yang dianggap sebagai “ketidakadilan” dan “pilih kasih” dalam kontroversi terbaru melibatkan beberapa pemain bola sepak warisan.
Fandi Nukizan, 22, yang lebih dikenali sebagai Ijan menyoal kenapa warga asing begitu mudah memperoleh kewarganegaraan, sedangkan mereka yang lahir dan membesar di Malaysia seumur hidupnya masih sukar mendapatkan dokumen itu.
“Bagi aku, tak adil lah, sebab tiba-tiba orang luar dapat kerakyatan, susur galurnya tak tahu latar belakang.
“Menteri kononnya kata nak cuba cari susur galur keluarga pemain itu, sedangkan ramai kanak-kanak di Sabah, Sarawak yang lahir membesar di sini sudah banyak kali cuba untuk memohon tetapi tidak diberi kelonggaran atau kesempatan pun untuk dapatkan IC.

“Tapi mereka (pemain bola) tiba-tiba dapat IC,” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.
Ijan seorang belia tanpa kerakyatan dari komuniti Bajau Laut di Semporna, Sabah. Kedua ibu bapanya juga tidak mempunyai kewarganegaraan.
Dia memberitahu keluarganya telah memohon kewarganegaraan sejak lebih sedekad lalu namun berdepan dengan kerenah birokrasi serta penolakan berulang kali.
Skandal Fifa jejaskan FAM
Pada 26 Sept, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan tindakan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Disiplin Fifa (FDC) berhubung pemalsuan dokumen.
“FAM telah menghantar pertanyaan kelayakan kepada Fifa, dan dalam proses itu, menggunakan dokumen yang dipalsukan untuk membolehkan pemain berkenaan beraksi,” kata jawatankuasa disiplin badan induk bola sepak dunia itu.
Fifa turut memutuskan FAM perlu membayar denda 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala setiap tujuh pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,500).

Tujuh pemain itu – Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julaian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano – turut digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu, sementara Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan pemain-pemain berkenaan menerima kewarganegaraan selepas melalui proses semakan teliti.
Nasib Ijan dan keluarganya bukan sesuatu yang unik kerana isu tanpa kerakyatan berbilang generasi masih berleluasa di Sabah, khususnya dalam kalangan komuniti nomad Bajau Laut.
Walaupun pihak berkuasa tidak mempunyai angka tepat mengenai jumlah individu tanpa kerakyatan di seluruh negara, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menganggarkan lebih 10,000 individu tanpa kerakyatan berada di Semenanjung Malaysia.

Aktivis Borneo Komrad, Yap Xiang pula memetik beberapa kajian menganggarkan jumlah itu hampir mencecah sejuta orang di Malaysia.
Menurutnya, isu ini paling ketara di Sabah, namun di Semenanjung Malaysia ia turut membebankan komuniti luar bandar dan terpencil, termasuk Orang Asli serta generasi lama masyarakat India di estet-estet pedalaman.
Katanya, keperluan dokumentasi yang ketat serta dasar kerajaan yang tidak jelas mengenai permohonan kewarganegaraan hanya menambah kesukaran mereka.
“Ini khususnya apabila pemohon lahir di kawasan pedalaman tanpa sijil lahir hospital tempatan.
“Proses permohonan memerlukan pelbagai dokumen seperti surat bidan yang menyambut kelahiran, keterangan sekurang-kurangnya empat saksi, kelulusan ketua kampung dan sebagainya, semata-mata untuk membuktikan kelahiran di Malaysia.
“Namun tanpa dokumen itu, ramai langsung tidak dapat memulakan langkah pertama dalam permohonan. Malah dalam banyak kes, dokumen berkenaan masih dianggap tidak mencukupi,” katanya.
Ragu proses teliti kerajaan
Yap turut meragui dakwaan Saifuddin bahawa pemain bola sepak terbabit memperoleh kewarganegaraan selepas diteliti secara menyeluruh.
Menurutnya, dalam kes yang diluluskan sekalipun, pemohon biasanya melalui bertahun-tahun kesulitan birokrasi.
“Tetapi jika kerajaan boleh membuka jalan untuk pemain bola sepak dengan hanya berlandaskan khabar angin, tanpa ketelusan dokumen, tidakkah mereka boleh lebih berlembut dengan generasi rakyat tanpa kerakyatan yang lahir dan membesar di sini sepanjang hayat mereka,” soalnya.

Wong Ku Kui, 29, bekas individu tanpa kerakyatan dari Sabah yang kini penyelaras kumpulan anak muda Mandiri berkata isu pemberian kewarganegaraan kepada pemain bola sepak kelahiran asing bukan sesuatu yang baru.
“Ini bukan isu baru langsung. Malah saya tidak perlu sebut FAM atau Fifa sekarang, kerana kes serupa sudah beberapa kali didedahkan tentang pemain bola sepak kelahiran asing diberi kewarganegaraan dengan mudah.
“Semasa kerajaan Pakatan Harapan pertama beberapa tahun lalu, isu ini juga beberapa kali dibangkitkan… Namun kini Harapan teruskan sistem lama yang menindas dan ketinggalan zaman, yang mereka sendiri pernah kritik,” katanya.
Wong berasal dari Keningau, memperoleh kewarganegaraan Malaysia pada 2023 selepas melalui perjuangan 16 tahun, termasuk lima tahun proses rayuan di mahkamah.

“Jadi kenapa proses birokrasi begitu rumit dan memakan masa untuk orang seperti kami, sedangkan warga asing yang kononnya ‘lebih bernilai dari segi ekonomi’ boleh dapat kewarganegaraan hanya dalam beberapa bulan, tanpa banyak halangan?” soalnya.
Wong turut menolak hujah bahawa pemain bola sepak asing wajar diberi kewarganegaraan atas alasan “sumbangan ekonomi yang signifikan”.
“Kalau begitu, mungkin kerajaan patut adakan uji bakat bola sepak untuk ribuan rakyat tanpa kerakyatan di Sabah. Dengan cara itu, ia boleh memudahkan proses permohonan kewarganegaraan mereka.
“Kalau nak hujah dari sudut sumbangan ekonomi, dengan logik itu Malaysia sebenarnya rugi hampir RM6 bilion setahun kerana jumlah besar individu tanpa kerakyatan tidak dapat bekerja secara sah dan bayar cukai,” katanya sambil merujuk kajian Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.
Ijan dan Wong turut menekankan bagaimana ketiadaan kewarganegaraan sering memaksa golongan ini bekerja dalam keadaan dieksploitasi demi kelangsungan hidup.
Ijan berkata remaja tanpa kerakyatan berhenti sekolah dan mula bekerja sepenuh masa seawal usia 13 tahun, sering bekerja sehingga 14 jam sehari dengan gaji kurang RM500 sebulan.
Bagi mereka, kerajaan perlu menyelesaikan isu kewarganegaraan dari perspektif hak asasi manusia dan maruah, bukannya atas alasan politik atau ekonomi.
Jika tidak, ribuan orang akan terus dieksploitasi, tanpa perlindungan undang-undang dan dihalang daripada mengakses perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan.
Tuntut ketelusan
Yap juga mengingatkan kerajaan sebelum ini berjanji menyediakan garis panduan yang lebih jelas untuk rakyat tanpa kerakyatan memohon kewarganegaraan.
Namun, sehingga kini garis panduan itu masih belum dilaksanakan.
“Kerajaan perlu memperkenalkan SOP yang jelas dan konsisten untuk rakyat tanpa kerakyatan memohon kewarganegaraan, khususnya berkaitan dokumen yang diperlukan.
“Banyak kes ditolak serta-merta kerana alasan ‘dokumen tidak cukup’, tanpa penjelasan lanjut,” katanya.
Mengulangi pandangan Yap, Wong menegaskan kerajaan “tidak boleh bertindak angkuh” dan mesti bekerjasama dengan NGO serta komuniti akar umbi untuk menyelesaikan isu ini.
Walaupun halangan sistemik masih wujud, mereka mengakui semakin ramai rakyat Malaysia – termasuk pihak kerajaan – kini lebih terbuka membincangkan isu tanpa kerakyatan.
Namun, Ijan menegaskan kritikan berterusan masih diperlukan sebagai pemangkin perubahan.
“Saya berharap dengan perhatian antarabangsa yang kini tertumpu kepada kerajaan Malaysia akibat isu Fifa ini, ia sekurang-kurangnya boleh membantu mencetuskan lebih banyak perbincangan mengenai nasib rakyat tanpa kerakyatan di Malaysia.”
[Baca berita asal]