Menjelang keputusan penting rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil dengan nada sebak dan penuh harapan, memohon agar kebenaran berpihak kepadanya setelah lima tahun menanti.
Dalam kenyataan ringkas kepada media sebelum prosiding bermula, Syed Saddiq menzahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada keluarga, sahabat dan penyokong setia yang menurutnya menjadi sumber kekuatan sepanjang proses perundangan yang panjang dan mencabar.
“Saya harap kebenaran akan menang di mahkamah pada hari ini. Saya terhutang budi pada ibu, bapa dan keluarga yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan,” katanya kepada pemberita, di Putrajaya.
Syed Saddiq juga menyatakan penghargaan terhadap mereka yang mengadakan bacaan Yasin secara dalam talian sejak beberapa malam lalu.
“Saya betul-betul terharu dan terhutang budi kerana dalam dunia politik ini saya hanya orang kecil. Tetapi kerana sokongan dan dorongan anda semualah saya tabah dan mampu terus langkah ke hadapan walau apa pun rintangan dan cabarannya,” katanya.
Bekas menteri belia dan sukan itu berkata dia meletakkan kepercayaan penuh terhadap sistem kehakiman sebagai saluran paling adil untuk membersihkan namanya daripada tuduhan pecah amanah, salah guna dana dan pengubahan wang haram yang dihadapinya sejak 2020.
“Cuma harapan saya pada hari ini, selepas lima tahun menanti, saya hanya berdoa supaya kebenaran menang dan saya dapat membersihkan nama saya seperti yang dijanjikan, iaitu melalui platform mahkamah yang saya hormati dan sanjungi. Platform terbaik untuk bersihkan nama seseorang,” katanya.
Keputusan rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman kerana bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta serta pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), akan diketahui hari ini.
Keputusan dijangka diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin pada 9 pagi.
Peguam Mohd Yusof Zainal Abiden dan Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq selaku perayu serta Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan selesai berhujah di hadapan panel tiga hakim berkenaan pada 17 April lepas.
Pada 9 Nov 2023, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Syed Saddiq, 32, didakwa bersubahat bersama bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.
Perbuatan terbabit didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020 dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang berkenaan.
Dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan itu, hukuman diperuntukkan mengikut Seksyen 4(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.