Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak perlu hipokrit apabila meminta Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mempertimbang semula keputusan melepaskan jawatan dalam kabinet, kata ketua cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin.
Razeef berkata, Shamsul merupakan antara individu terawal menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah Anwar untuk mencabar Rafizi bagi jawatan timbalan presiden PKR baru-baru ini.
"Jika Shamsul ingin Rafizi untuk berjiwa besar, sepatutnya perkara itu berlaku di awal sebelum pengundian parti bila mana Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden Keadilan meminta agar Rafizi diberi laluan mudah dan kekal sebagai Timbalan Presiden.
"Namun Shamsul sendiri antara yang terawal menggerakkan kenyataan sokongan kepada Nurul Izzah untuk menidakkan gesaan Presiden dan melawan Rafizi.
"Jika sudah niat ingin menyingkirkan Rafizi, bagi saya pemimpin Keadilan tidak perlu hipokrit memandangkan Rafizi dan beberapa sekutunya berjaya disingkirkan,” kata Razeef dalam kenyataan.

Razeef merupakan penyokong Rafizi dan memenangi jawatan Ketua Cabang Tuaran tetapi tewas dalam saingan untuk jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.
Rafizi dan Nik Nazmi, masing-masing Menteri Ekonomi dan Menteri Sumber Asli serta Kelestarian Alam, meletakkan jawatan daripada kabinet bulan lalu selepas gagal mempertahankan jawatan dalam pengundian parti.
Rafizi tewas kepada Nurul Izzah dalam saingan satu lawan satu manakala Nik Nazmi gagal mengekalkan kedudukan sebagai Naib Presiden.
Keputusan anak sulung Anwar itu bertanding jawatan nombor dua dalam PKR menerima kritikan daripada penyokong Rafizi, yang mendakwa ia membuka ruang kepada amalan nepotisme.
Bagaimanapun Izzah menyanggah tohmahan bahawa PKR merupakan parti anak beranak.

Semalam Shamsul berkata PKR masih menaruh harapan agar Rafizi dan Nik Nazmi kembali menyertai kabinet pimpinan Anwar.
Mengulas lanjut, Razeef berkata kedudukan sebagai pimpinan utama parti adalah asas yang meletakkan Rafizi dan Nik Nazmi dalam kabinet kerajaan Persekutuan.
Namun katanya, atas dasar prinsip mereka meletakkan jawatan selepas mandat itu ditarik oleh ahli PKR.
"Sepatutnya Shamsul melihat tindakan Rafizi dan Nik Nazmi membuktikan bahawa mereka adalah 'pemimpin sinaran' dan bukannya 'pemimpin sialan' seperti beberapa ciri pemimpin yang disebut sendiri oleh Shamsul Iskandar sebelum ini," katanya.