Peguam bekas perdana menteri Najib Razak mengkritik Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana berdiam diri berhubung permohonan yang dibuatnya untuk mengekstradisi bekas eksekutif Goldman Sachs Tim Leissner, berkaitan perbicaraan 1MDB.
Ia susulan laporan The Wall Street Journal semalam yang mendedahkan kerajaan telah mengemukakan permohonan ekstradisi kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Ogos tahun lalu.
“Sesuatu yang membimbangkan apabila mengetahui yang AGC telah menghantar permohonan ekstradisi sembilan bulan lalu, namun tidak menyatakannya kepada mahkamah, pihak pembelaan atau orang awam sehingga sehari selepas pembelaan Najib selesai.
“Tindakan berdiam diri yang berpanjangan ini menunjukkan permohonan itu disembunyikan semasa fasa penting perbicaraan, sekali gus menafikan hak pembelaan terhadap maklumat yang relevan, terutamanya identiti pegawai yang Leissner akui telah disogoknya.
“Sekiranya pihak pembelaan ada maklumat ini, ia pastinya boleh menjadi bukti yang dapat membersihkan Najib,” kata Shafee dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh firma guamannya, Shafee & Co.

Untuk rekod, seorang lagi bekas pegawai Goldman Sachs, Roger Ng telah diekstradisi ke Malaysia tidak lama selepas dia disabit bersalah di Amerika Syarikat atas kesalahan pengubahan wang haram, yang membawa hukuman penjara 10 tahun ke atasnya.
Aduan rasmi
Shafee mengingatkan orang ramai bahawa pada 27 Oktober 2021, Najib telah membuat aduan rasmi kepada SPRM untuk meminta agar Leissner diekstradisi ke Malaysia selepas dia mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai 1MDB dan kerajaan.
Semasa pemeriksaan balas ketika perbicaraan sebelum ini, pegawai penyiasat Nur Aida Ariffin mengaku yang dia tidak mengetahui perkembangan laporan itu.
Kata Shafee lagi, ketika Najib memberi keterangan pada 6 Disember 2024, dia ada menyebut tentang kurangnya tindakan susulan daripada badan penguatkuasa.
“Bagi pihak anak guam, kami menggesa AGC dan kerajaan untuk mengusahakan ekstradisi Leissner dengan kesungguhan yang sebenar-benarnya.
“Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk menunjukkan kronologi lengkap setiap langkah yang diambil. Ketelusan sepenuhnya dari Putrajaya dan Washington penting untuk menghapuskan keraguan awam dan membuktikan bahawa keadilan dilaksanakan secara saksama, bukan berdasarkan keperluan politik.
“Najib tetap bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana usaha yang ikhlas bagi membawa Leissner ke mahkamah di Malaysia dan menunjukkan keseluruhan kebenaran kepada negara,” katanya lagi.
[Baca berita asal]