Bersatu tetap akan meneruskan aduan berhubung dakwaan kewujudan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan Presidennya, Muhyiddin Yassin, meskipun timbul dakwaan laporan itu telah ditarik balik.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz (gambar bawah) menegaskan bahawa siasatan kini sepenuhnya berada di bawah tanggungjawab lembaga disiplin parti.
“Setakat ini, saya tidak ada tarik sebarang laporan. Lembaga disiplin ini badan bebas.
"Lembaga disiplin bebas untuk panggil prosiding, siasat dan nilaikan bukti dan kenyataan-kenyataan daripada saksi dan OKT berdasarkan kesesuaian lembaga disiplin,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini bagi mengulas dakwaan kononnya dia menarik semula laporan berhubung SD untuk menggulingkan Muhyiddin.

Namun, Tun Faisal menegaskan dia kekal dengan laporan asal dan menyerahkan proses sepenuhnya kepada badan tatatertib parti.
Menurut Perkara 23.5 Perlembagaan Bersatu, sebarang aduan bertulis berkenaan salah laku atau pelanggaran perlembagaan parti oleh mana-mana ahli mesti dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk siasatan.
Lembaga itu mempunyai kuasa untuk membebaskan tertuduh, memberi amaran, menggantung keahlian, melucutkan jawatan, atau memecat keahlian parti. Selain itu, ia juga boleh mengenakan hukuman lain yang difikirkan sesuai.
Ahli yang tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Disiplin boleh membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam masa 14 hari bekerja dari tarikh keputusan, seperti diperuntukkan dalam Perkara 23.6.

Mengikut Perkara 23.7 pula, mana-mana ahli yang memegang jawatan tetapi dikenakan tindakan seperti penggantungan, pelucutan atau pemecatan mesti mengosongkan jawatan serta-merta, dan jawatan itu tidak boleh diganti sehingga proses rayuan selesai.
Keputusan Lembaga Rayuan Bersatu adalah muktamad manakala sebarang keputusan daripada lembaga disiplin dan lembaga rayuan hendaklah dimaklumkan kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).
Pada 25 September lalu, Malaysiakini melaporkan Anggota MPT Bersatu, Wan Saiful Wan Jan mengesahkan adanya usaha mengumpul SD daripada ketua-ketua bahagian parti kononnya bagi mendesak perubahan kepimpinan menjelang mesyuarat agung tahunan pada 9 Sept.
Bagaimanapun, Wan Saiful mendakwa naratif itu diputar belit pihak tertentu untuk mencemarkan niat sebenar di sebaliknya.

"Bahagian tentang pengumpulan SD adalah benar, tetapi saya percaya pihak tertentu telah memutarbelitkan cerita tentang niat sebenar dan apa yang ingin dicapai.
"Biar saya berjumpa lembaga disiplin parti dan jelaskan kepada mereka terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut," katanya.
“Mengumpul SD (itu) betul. Yang itu saya rasa biar saya pergi lembaga disiplin dulu. Lepas itu baru saya boleh komen lanjut. Biar lembaga disiplin dulu dengar penjelasan,” tambahnya.
Lembaga Disiplin Bersatu pada hari sama dilaporkan menangguhkan prosiding memanggil Wan Saiful kerana tidak cukup korum berikutan ketidakhadiran seorang ahli panel.
Menurut sumber Bersatu, penangguhan itu dibuat bagi mengelak “orang luar” membuat penghakiman awal sebelum Lembaga Disiplin mendengar hujah Wan Saiful.