BELANJAWAN 2026 | Sebuah kumpulan alam sekitar menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan memperuntukkan RM10 juta dalam Belanjawan 2026 untuk aktiviti pemetaan nadir bumi di negara ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menegaskan bahawa aktiviti tersebut perlu dikecualikan sepenuhnya daripada dijalankan di kawasan sensitif alam sekitar serta kawasan Orang Asli.
Ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan menumpukan usaha ke arah membangunkan aktiviti hiliran termasuk melalui usaha sama antarabangsa yang diterajui Khazanah Nasional Bhd.
SAM turut menyambut baik jaminan Anwar bahawa kerajaan akan membentangkan pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 bagi memperkukuh hak dan kepentingan Orang Asli berkaitan tanah dan kebajikan.
Namun, kumpulan itu menegaskan bahawa perlu ada rundingan dengan masyarakat Orang Asli serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan hak adat mereka benar-benar dilindungi dan dihormati.
Pendekatan kerajaan dalam reformasi undang-undang Orang Asli sebelum ini menerima kritikan, apabila Presiden Parti Orang Asli, Rashid Ka’, mendakwa komuniti tersebut tidak diwakili dalam perbincangan mengenai pindaan akta itu.
Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, pindaan undang-undang itu bertujuan memperbaiki akta yang tidak pernah mengalami perubahan besar sejak lebih 70 tahun lalu.

Sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, dia turut memaklumkan bahawa rang undang-undang pindaan Akta Orang Asli akan dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini.
Peruntukan untuk alam sekitar masih rendah
Dalam kenyataan sama, SAM melahirkan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan mengekalkan peruntukan RM250 juta bagi dana Pemindahan Fiskal Ekologi untuk menyokong usaha pemeliharaan sumber semula jadi negara — dengan RM50 juta daripadanya disalurkan kepada kerajaan negeri sebagai hasil pendapatan.
“Peruntukan sebegini masih tidak mencukupi untuk memastikan kerajaan negeri benar-benar melindungi dan memulihkan hutan. Kami mengharapkan peningkatan peruntukan dalam aspek ini.
“Walaupun RM50 juta kepada negeri dialu-alukan, jumlah itu terlalu kecil,” kata SAM.
Kumpulan itu menambah peruntukan lebih besar diperlukan bagi memastikan perlindungan sepenuhnya terhadap hutan tadahan air, sekali gus menjamin kelestarian sumber air negara.

SAM juga menegur Anwar kerana tidak menyentuh usaha melindungi Rangkaian Hutan Tengah (Central Forest Spine), termasuk pembinaan dan perlindungan koridor hidupan liar bagi mengurangkan konflik antara manusia dan haiwan.
Selain itu, SAM turut menyatakan rasa kecewa dengan kekurangan sumber untuk mencegah pemburuan haram, penyeludupan dan pemerdagangan flora serta fauna negara.
Meskipun mengalu-alukan peruntukan RM80 juta bagi 2,500 renjer komuniti untuk melindungi hutan, SAM menegaskan dana tersebut harus meliputi usaha membanteras pemburuan dan penyeludupan hidupan liar.
Imbangi pembangunan dan perlindungan alam sekitar
Bagi peruntukan RM300 juta untuk rawatan, penyelenggaraan dan pembersihan sungai, SAM berpandangan kerajaan seharusnya memberi tumpuan lebih besar kepada penguatkuasaan dan pemantauan pencemaran alam sekitar, termasuk pencemaran air dan udara.
“Kami amat bimbang dengan tumpuan kerajaan terhadap pembangunan pusat data dan teknologi AI, sedangkan tiada perhatian mencukupi terhadap penggunaan tenaga dan air yang tinggi dalam sektor ini.
“Keadaan ini akan meningkatkan kos peralihan tenaga dan tidak diambil kira dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” tegas SAM.
Namun, kumpulan itu turut mengalu-alukan peruntukan RM460 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, serta langkah kerajaan meluaskan inisiatif pemasangan lampu solar ke luar bandar.
Selain itu, SAM menyambut baik peruntukan RM20 juta bagi rebat pembelian kelengkapan cekap tenaga, yang menurutnya langkah tepat untuk menggalakkan gaya hidup lestari dan penggunaan tenaga yang lebih efisien.