Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata dia tidak mengetahui mengenai saman yang difailkan terhadapnya oleh ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, sehinggalah perkara itu dilaporkan media.
Dalam satu video dimuat naik di platform X malam tadi, ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa peguamnya akan menunggu writ saman diserahkan secara rasmi sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Saya dan peguam belum menerima saman ini. Malah, kami hanya tahu melalui laporan berita. Biasanya, apabila saman difailkan, ia juga diserahkan secara rasmi kepada defendan.
“Oleh itu, peguam saya akan menguruskan perkara ini dan menunggu saman diserahkan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Farhash memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi berhubung dua video yang disiarkan di media sosial.
Dokumen mahkamah menunjukkan saman itu difailkan pada 10 Okt melalui firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co, selepas Rafizi gagal memohon maaf atas dua video yang didakwa berunsur fitnah.
Saman tersebut merujuk kepada dua video Rafizi: yang pertama disiarkan pada 25 Julai bertajuk “Tangani isu Farhash, elak jadi beban lebih besar kepada kerajaan”, dan satu lagi pada 20 Ogos bertajuk “Bukan Ismail Sabri, Bukan KJ”.

Video pertama dikaitkan dengan dakwaan melibatkan Farhash dalam skandal lesen perlombongan Sabah, manakala dalam video kedua, Rafizi mendakwa mesyuarat bersama pemberi maklumat yang dihadirinya sebelum anaknya diserang pada Ogos lalu turut membincangkan mengenai Farhash.
Menurut saman itu, Farhash menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, selain ganti rugi teruk, teladan dan punitif, kos guaman serta injunksi untuk menghalang Rafizi daripada terus menerbit atau menyebarkan kenyataan seumpama itu.
“Disaman memang membebankan, sebab kita kena tanggung kos guaman dan luangkan masa untuk sediakan hujah. Proses mahkamah juga selalunya panjang,” kata Rafizi.
“Tapi kelebihannya, kita boleh kemukakan hujah secara sah dan gunakan proses mahkamah untuk dapatkan maklumat serta memanggil saksi.
“Kalau saksi itu menteri, atau perdana menteri sekalipun, kita akan mohon kepada mahkamah untuk panggil mereka. Selebihnya, kita serahkan kepada Tuhan,” tambahnya.

Bekas timbalan presiden PKR itu juga berkata ini merupakan kes mahkamah ke-17 yang dihadapinya sepanjang karier politik.
Bulan lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membersihkan nama Farhash daripada sebarang kaitan dengan skandal lombong Sabah selepas siasatan mendapati tiada lesen penerokaan dikeluarkan kepada mana-mana syarikat miliknya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), yang kemudiannya memutuskan tiada pendakwaan boleh dibuat terhadap mana-mana pihak.
Azam menjelaskan syarikat yang dikaitkan dengan Farhash pernah memohon lesen penerokaan mineral daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd pada Mac 2023, namun gagal mengemukakan dokumen yang diminta.
“Oleh itu, sebenarnya tiada penerokaan dilakukan kerana dokumen tidak dikemukakan,” katanya.
Pihak berkuasa tanah Sabah turut menafikan menerima sebarang permohonan lesen penerokaan mineral daripada syarikat Bumi Suria.





