Sebuah projek cadangan lombong emas berkeluasan 74.56 hektar (bersamaan kira-kira 145 padang bola sepak) di Gua Musang, Kelantan, didapati berada di laluan habitat Harimau Malaya yang semakin terancam kepupusan.
Populasi harimau Malaya di habitat liar - setakat survei yang dijalankan dari 2016 hingga 2020 - dianggarkan kurang daripada 150 ekor. Kepupusan Harimau Malaya berpunca daripada pelbagai sebab, antaranya akibat penebangan hutan. Belum ada data terkini populasi haiwan simbol Jata Negara itu.
Menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), pelbagai spesies hidupan liar yang terancam telah dikesan di tapak cadangan lombong emas di Kelantan itu, yang sebelum ini merupakan sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal Ulu Galas sebelum status perlindungannya dibatalkan pada 25 April 2018.
Kajian selama dua bulan yang dijalankan menggunakan kamera peranangkap di lima lokasi serta tinjauan lapangan telah mengesan kehadiran beberapa spesies yang terancam di kawasan tersebut, termasuk:
-
Harimau Malaya
-
Kambing gurun (Serow Sumatera)
-
Rusa sambar
-
Siamang
-
Tapir Malaya

"Kehadiran babi hutan dan rusa di tapak projek yang dicadangkan juga menjadi kebimbangan memandangkan kepentingan kawasan ini dalam pemuliharaan hidupan liar, kerana kedua-dua spesies ini sumber makanan utama bagi pemangsa besar seperti harimau," menurut laporan itu.
Selain itu, kajian EIA turut mengesan kehadiran beruang matahari Malaya dan gajah Asia di kawasan yang sama.
Laporan EIA ini kini dibuka kepada umum untuk penelitian dan maklum balas.
Selain mamalia, laporan EIA turut merekodkan kehadiran beberapa spesies burung yang terancam, termasuk:
-
Burung daun sayap biru (terancam)
-
Enggang badak (rhinoceros hornbill - terdedah ancaman)
-
Spiderhunter kecil (little spiderhunter - terdedah ancaman)
-
Burung kuang argus besar (great argus - terdedah ancaman)
Menurut laporan itu, berpuluh-puluh spesies burung yang dikesan atau dijangka berada di kawasan tersebut dikategorikan sebagai “totally protected” (dilindungi sepenuhnya) di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Kajian ini menimbulkan persoalan besar mengenai kesan perlombongan terhadap kepelbagaian biodiversiti di kawasan berkenaan, khususnya bagi spesies yang sudah berada di ambang kepupusan.
Kajian menunjukkan tapak cadangan lombong emas di Gua Musang, Kelantan memiliki kepentingan ekologi yang tinggi, walaupun ia bukan sebahagian dari Taman Negara atau Central Forest Spine (CFS)— koridor semula jadi yang digunakan oleh hidupan liar untuk bergerak antara rangkaian hutan teras di Semenanjung.
Tapak tersebut terletak kira-kira 15.05km dari hutan CFS terdekat.
Hutan musnah, habitat terpecah-pecah
"Pembukaan hutan di kawasan itu boleh membawa kepada pemecahan habitat serta pengecilan saiz ekosistem hidupan liar, yang akhirnya menjadi punca konflik antara manusia dan haiwan liar apabila hidupan ini terpaksa mencari tempat perlindungan dan sumber makanan baru.
"Kesan segera akibat kehilangan habitat ini adalah penurunan populasi mamalia dan burung.
“Hidupan liar ini akan mula mencari makanan di kawasan berdekatan seperti ladang kelapa sawit dan kawasan penempatan manusia," menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Laporan EIA juga berkata tapak lombong yang dicadangkan berada dalam radius lima kilometer dari 18 kawasan hutan dan ladang kelapa sawit.

Pemusnahan hutan ini, kata laporan EIA boleh menjadikan spesies terancam lebih mudah terdedah kepada pemburu haram, yang mendapat laluan masuk lebih mudah ke kawasan habitat hidupan liar.
Selain itu, laporan EIA tersebut turut memberi amaran:
-
Pencemaran bunyi dari aktiviti perlombongan boleh menghalang burung bersarang di kawasan tersebut.
-
Peningkatan pencemaran air di sungai berhampiran boleh menyebabkan hidupan liar terpaksa mencari sumber air lain, seperti lopak air bertakung yang berisiko menjadi tempat pembiakan penyakit seperti leptospirosis.
Lesen tamat 25 Mac
Lombong emas ini akan dikendalikan oleh SAH Global Sdn Bhd manakala kontraktor perlombongan Syabas Deras Sdn Bhd. Lesen perlombongan pula dipegang oleh Gugusan Timur Sdn Bhd.
Lesen perlombongan pertama kali diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian Kelantan pada 29 Mac 2019.
Lesen tersebut tamat tempoh pada 25 Mac 2024 dan permohonan pembaharuan kini sedang dalam proses penilaian.
Pihak perunding di sebalik laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) ini mencadangkan beberapa langkah mitigasi bagi mengurangkan impak projek lombong ini, termasuk penggunaan teknologi yang berbeza bagi mengawal pelepasan sisa perlombongan untuk memastikan kualiti air di sungai berdekatan tidak terjejas.
Mereka juga mencadangkan langkah pemulihan tapak, termasuk:
-
Penghijauan semula kawasan yang terjejas
-
Teknik peneutralan logam berat, seperti fitorimedia (phytoremediation), dengan tumbuhan khas digunakan untuk menyerap logam berat yang meresap keluar dari sisa batuan dan lumpur buangan perlombongan.
Bagaimanapun, langkah mitigasi bagi mengurangkan kesan terhadap hidupan liar terancam masih sangat terhad.
Langkah-langkah yang dicadangkan termasuk:
-
Larangan aktiviti pemburuan dan pemasangan peranangkap hidupan liar di kawasan projek.
-
Penyediaan pelan pengurusan hidupan liar dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
-
Persiapan untuk penduduk berdekatan bagi menghadapi kemungkinan konflik dengan hidupan liar.
Perunding turut mencadangkan penggunaan cahaya dan pagar untuk menghalang haiwan liar daripada memasuki tapak projek.
“Kontraktor mesti bersedia memberikan bantuan sekiranya berlaku konflik hidupan liar dengan penduduk berhampiran.
“Ini mungkin berlaku akibat migrasi haiwan ke kawasan lain susulan aktiviti di tapak projek,” menurut laporan EIA.
[Baca berita asal]