Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang berlangsung hari ini mencatat peratusan keluar mengundi sebanyak 92.5 peratus atau 17,615 pengundi.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengundi berkenaan terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan yang layak mengundi awal dalam PRN kali ini.
Beliau berkata proses mengundi awal bermula pada 8 pagi melibatkan 58 Pusat Mengundi Awal di seluruh Sabah dan ditutup pada 5 petang, dengan 8,347 anggota tentera serta pasangan dan 10,696 anggota polis serta pasangan layak mengundi.
“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR.
Pengundian PRN Sabah ditetapkan pada Sabtu ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari





