PAS Pahang memberitahu PN negeri itu sudah mengenal pasti lima atau enam kerusi DUN yang berpotensi dimenangi dalam PRU akan datang, sekali gus membolehkan mereka menguasai kerajaan negeri.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu, berkata perkara itu menjadi keutamaan mereka sejak siri jelajah PN Teraju Pahang dimulakan kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, lima atau enam kerusi itu adalah tambahan kepada 17 kerusi yang sedang mereka kuasai dalam DUN Pahang sekarang.
Pun begitu, dia yang juga Adun Beserah mengakui ia bukanlah sesuatu yang mudah.
"Cabaran kami ialah mempertahankan 17 kerusi DUN sedia ada dan seterusnya mencari (menang) lima atau enam lagi kerusi.
"Kalau dicampur dengan kerusi kita miliki sekarang, ia memadai untuk PN memperoleh majoriti mudah dan menerajui Pahang selepas PRU ke-16," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Beserah, dekat Kuantan, Pahang semalam.
Secara keseluruhan, DUN Pahang mempunyai 42 kerusi.
Pada PRU lalu PN menang di kerusi DUN Cheka, Tanjung Lumpur, Beserah, Luit, Chenor, Bukit Ibam, Kuala Sentul, Tahan, Damak, Pulau Tawar, Jengka, Pulau Manis, Lanchang, Kuala Semantan, Panching, Lepar dan Sungai Lembing.
Andansura memaklumkan, terdapat kerusi yang dikuasai BN pada PRU ke-15 hanya dengan majoriti kecil dan ia sangat berpotensi dirampas PN apabila pilihan raya diadakan nanti.
Berdasarkan rekod PRU ke-15, antara kerusi DUN dimenangi BN dengan majoriti kecil ialah Sabai (96), Ketari (120), Padang Tengku (507), Inderapura (922) dan Dong (1,046).
MB tak perlu risau
Andansura bagaimanapun tidak mengesahkan lima kerusi itulah yang menjadi tumpuan utama PN, sebaliknya memberitahu semua kerusi berpotensi menang sudah dikenal pasti berdasarkan indikator diterima menerusi siri jelajah PN Teraju Pahang yang dilakukan setakat ini.
"Kerusi kita (PN) pun ada yang menang dengan majoriti tipis dan semua ini kita kena ambil kira juga.
"Kita tubuhkan sekretariat untuk pantau prestasi sokongan untuk Adun kita di 17 kerusi yang kita miliki," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Andansura berkata, sebaik PRU ke-15 berakhir pada Nov 2022, PN Pahang terus bekerja dengan melancarkan siri jelajah PN Teraju Pahang.
Katanya, siri jelajah itu dilakukan setiap dua minggu sekali membabitkan semua 17 Adun gabungan berkenaan.
"Saya pun dapat tahu kerajaan Pahang dah ada siri jelajah mereka sendiri, iaitu jelajah Aspirasi Pahang 1st, dan ini perkembangan yang baik.
"Maknanya, rakyat mendapat manfaat dan kerajaan negeri boleh memberikan banyak bantuan setiap kali jelajah Aspirasi Pahang 1st ini berlangsung.
"Apabila semua nak buat program turun padang macam ini, mereka boleh buat program mereka dan kami buat program kami," ujarnya.

Diminta mengulas mengenai program Hogoh Jelai yang dijadualkan di kawasan Sungai Koyan dekat Lipis, pada 19 Okt ini, dia menjelaskan pengundian lokasi itu dibuat sejak awal iaitu ketika PN merancang jelajah PN Teraju Pahang.
"Kebetulan saja kawasan Jelai itu kawasan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail... lagi pun, dia tak perlu risaulah, kerajaan Pahang stabil," katanya berkias.
Selain program Hogoh Jelai, PN juga akan melancarkan jentera pilihan raya pada tarikh sama, yang diramal menghimpunkan kira-kira 30,000 penyokong PAS dari seluruh Pahang.
"Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Annuar Musa, antara yang sudah mengesahkan kehadiran pada majlis itu.
" Bersatu pula, mungkin Presiden (Muhyiddin Yassin) atau Timbalan (Hamzah Zainudin) akan hadir. Ketua Bersatu Pahang, Abdul Khalib Abdullah dan pimpinan peringkat negeri juga memaklumkan mereka akan hadir," katanya.