Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata walaupun rancangan damai terbaru yang dicadangkan oleh AS dan Israel tidak sempurna, keutamaan sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
"Kita boleh terus berpolemik dan berpencak lidah di sini, tetapi hakikatnya yang merana ialah puluhan ribu nyawa yang sudah terkorban di Gaza.
"Tanggungjawab kita adalah menghentikan kezaliman Zionis, memastikan bantuan makanan dan minuman sampai, serta menyalakan harapan buat mereka yang masih bertahan," katanya di Facebook hari ini.
Semalam, Hamas mengumumkan bahawa ia menerima beberapa bahagian rancangan Presiden AS Donald Trump untuk gencatan senjata susulan peranang hampir dua tahun Israel ke atas Gaza, tetapi beberapa elemen cadangan itu memerlukan rundingan lanjut.
Menurut Al Jazeera, kumpulan itu menyerahkan responsnya kepada rancangan 20 perkara Trump untuk menghentikan peranang pada hari Jumaat, beberapa jam selepas Trump memberi kumpulan itu sehingga Ahad untuk menjawab cadangan gencatan senjata berkenaan.
Selepas itu, Trump menggesa kerajaan Israel menghentikan serangannya di Gaza, sambil menambah dia percaya kumpulan Palestin itu "bersedia untuk keamanan yang berkekalan".
Presiden AS secara berasingan mengeluarkan mesej video, mengucapkan terima kasih kepada Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Mesir, Jordan "dan banyak lagi yang lain, begitu ramai orang berusaha bersungguh-sungguh."
Sehubungan itu, Anwar juga mempertahankan negara-negara Arab kerana menyokong pelan damai Trump.
Anwar berkata perjanjian itu adalah langkah pertama dalam
menghentikan pertumpahan darah, menolak pengusiran, dan memberi peluang rakyat Gaza kembali ke tanah air mereka.
"Malaysia akan berdiri teguh bersama Gaza, terus memantau, terus bersuara, dan terus membongkar kemunafikan Zionis agar nyawa dan maruah yang tersisa tetap dipertahankan," tambah Anwar.
Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah membunuh hampir 66,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan kumpulan hak asasi telah berulang kali memberi amaran bahawa kezaliman itu tidak boleh dibiarkan, dengan kebuluran dan penyakit terus mengancam nyawa rakyat Palestin.