Pelan damai 20 perkara yang diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Gaza bersifat berat sebelah serta tidak berperikemanusiaan, rumus forum “Pelan 20 Trump: Solusi atau ilusi” anjuran Asia Middle East Center for Research and Dialogue (Amec).
Majlis yang menghimpunkan tokoh akademik, diplomat dan aktivis itu membincangkan realiti di sebalik pelan tersebut serta menilai perananan Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.
Pengerusi Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (IAIS) Malaysia, Maszlee Malik menegaskan isu Palestin kini bukan lagi soal politik atau sempadan, sebaliknya merupakan genosid yang berlaku secara terang-terangan.
“Lebih 70,000 nyawa melayang, ratusan ribu cedera. Ini bukan sekadar apa yang berlaku selepas 7 Oktober, ini soal kedaulatan yang telah dirampas sejak berdekad-dekad.

“Trump bercakap soal damai, tapi tidak satu pun perkara dalam pelan itu menyentuh gencatan senjata.
“Apa jenis pelan damai kalau mangsa terus dibunuh,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan dalam forum di IAIS Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
Maszlee turut menekankan dunia kini berdepan krisis kemanusiaan terbesar abad ini dan pelaku jenayah peranang tidak boleh dibiarkan bebas tanpa tindakan.
Bekas menteri luar Syed Hamid Albar Syed Jaafar Albar pula berkata pelan Trump gagal memenuhi prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.

“Kita menyaksikan penderitaan rakyat Palestin seolah-olah ia sebuah wayang.
“Kita mempersoalkan perananan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tapi sejauh mana mereka benar-benar memulihkan keadilan?
“Keamanan tak boleh dipaksa, ia mesti diterima secara sukarela. Ia tak boleh didikte (dipaksa), mesti dirunding dengan keikhlasan,” katanya dalam ucaptama forum itu.
Menurut penasihat kehormat Amec itu, walaupun Malaysia konsisten menyokong penyelesaian dua negara, pendekatan itu sukar dicapai selagi Israel terus memperluas jajahan dan menolak kewujudan negara Palestin.

“Jawapannya tetap diplomasi. Kita tak boleh pinggirkan pelan PBB, kita tak boleh pinggirkan negara Palestin.
“Ya, pelan Trump itu satu ilusi, tapi untuk menubuhkan negara Palestin, diplomasi adalah kunci utama.
"Malaysia perlu terus menggunakan saluran antarabangsa, termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Negara Islam Membangun (D-8) dan PBB, untuk menekan Israel dan sekutunya agar tunduk kepada undang-undang antarabangsa.
"Ini bukan isu Palestin sahaja — ini isu kemanusiaan," katanya mengulas perananan diplomatik Malaysia serta sama ada terdapat ruang daripada 20 perkara pelan Trump yang boleh dimanfaatkan atau sebaliknya.

Sementara itu, panelis Felo Kanan Amec, Muath Seyam menyifatkan pelan Trump hanyalah alat politik untuk menutup kegagalan Israel menewaskan semangat rakyat Palestin.
“Apa yang Israel gagal capai dengan peluru, mereka cuba capai dengan pena. (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu ubah sembilan perkara dalam pelan itu untuk beri kelebihan besar kepada Israel.
“Kalau benar mereka menang, kenapa perlu pelan damai? Sebab Palestin tak pernah kalah — mereka masih di tanah sendiri.
“Walaupun lebih 70,000 rakyat terbunuh dan lebih 200,000 cedera, rakyat Palestin masih bertahan, tanda bahawa perjuangan mereka belum berakhir," tegasnya.

Pakar sejarah Timur Tengah, Kamaruzaman Yusoff pula menekankan pentingnya perjuangan Palestin dikongsi dengan dunia melalui advokasi dan kesedaran masyarakat.
“Rakyat Palestin perlu lebih aktif dalam mendidik dan memaklumkan dunia tentang keadaan sebenar. Sekaranglah masanya untuk kita semua cipta kesedaran. Ini bukan hanya isu Palestin — ini isu kemanusiaan sejagat,” katanya.
Dia turut berkongsi perkembangan misi Global Sumud Flotilla dalam usaha menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Katanya, walaupun flotilla itu gagal tiba ke Gaza, kesedaran tetap tercetus apabila video pelayaran mereka mencecah lebih lima juta tontonan dalam tempoh 40 hari.

“Itu kemenangan moral — dan usaha ini mesti diteruskan.”
"Saya menyeru penyertaan lebih ramai sukarelawan dan rakan bukan Islam dalam perjuangan ini kerana ini perjuangan untuk kemanusiaan, bukan agama semata-mata," tambahnya.
Bagaimanapun, Pengerusi BDS Malaysia Nazari Ismail menjelaskan konflik Palestin tidak boleh difahami tanpa memahami ideologi Zionisme, .
Menurutnya, Zionis tidak mahu Palestin wujud dan mahu bumi itu hanya untuk bangsa Yahudi.

“Trump hanya mendengar Zionis di Washington. Tiada sekatan senjata terhadap Israel, malah diberi sepenuhnya," katanya.
Nazari turut membangkitkan isu ekonomi dan tanggungjawab korporat global, dengan mendakwa terdapat syarikat Malaysia yang masih menjalinkan kerjasama dengan syarikat dikaitkan dengan Israel.
Secara keseluruhan, para panelis forum yang dimoderatorkan Ketua Bahagian Kajian dan Penerbitan IAIS Malaysia, Abdul Latiff Ibrahim sependapat bahawa jalan ke hadapan menuntut gabungan tekanan diplomatik, gerakan kemanusiaan dan kesedaran sejagat yang berterusan.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri. Perjuangan ini mesti diteruskan dengan hikmah, kemanusiaan dan dengan keberanian,” tegas Abdul Latiff.