Seorang pekerja pembersihan maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kuda yang melintas jalan di Jalan Sempang Bukit Kuda, Merlimau, di Jasin pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin DSP Nor Azlinda Nordin berkata kejadian berlaku pada 7.10 pagi dan lelaki 59 tahun yang bekerja di sebuah universiti awam di Jasin meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan.
“Ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal Yamaha Y16ZR dari Serkam ke kampus universiti dan dipercayai melanggar kuda yang tiba-tiba melintas dari kiri jalan.
“Polis sedang mengesan pemilik kuda bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bezah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang awam mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Aqil Yusoff menerusi talian 013-9393747.





