Pihak berkuasa Singapura dijadualkan menggantung banduan akhir warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman esok selepas usaha terakhirnya untuk penangguhan hukuman ditolak.
Namun begitu, peguam hak asasi manusia N Surendran – yang mewakili Pannir – merayu kerajaan Singapura agar tidak meneruskan hukuman itu, selain menggesa kerajaan Malaysia campur tangan.
“Ini adalah jalan terakhir. Tiada lagi proses undang-undang untuk menghalang pelaksanaan hukuman esok pagi.
“Penangguhan telah ditolak, tetapi kami tetap merayu kepada kerajaan Singapura supaya tidak meneruskan hukuman mati. Kami juga menyeru kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) segera campur tangan untuk menghentikan pelaksanaan hukuman menjelang subuh,” katanya kepada Malaysiakini susulan keputusan Mahkamah Rayuan Singapura.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan hari ini, Hakim Woo Bih Li berkata tiada keadaan luar biasa dalam kes Pannir yang membolehkan penangguhan hukuman diberi, lalu menolak permohonannya tanpa pendengaran lisan.
Mahkamah sebelum itu secara mengejut membatalkan prosiding yang dijadualkan berlangsung jam 3 petang hari ini.
Mahkamah Rayuan Singapura secara tidak disangka-sangka membatalkan pendengaran permohonan Pannir untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mati yang sepatutnya didengar pada jam 3 petang.

Surendran berkata mahkamah telah menghantar surat pada awal hari ini memaklumkan pihak pembelaan bahawa pendengaran itu dibatalkan dan perkara tersebut akan diputuskan secara ringkas di kamar oleh seorang hakim Mahkamah Rayuan.
“Permohonan penangguhan hukuman mati sepatutnya didengar pada jam 3 petang hari ini. Namun, mahkamah telah membatalkannya dan akan memutuskan perkara ini secara ringkas di kamar,” kata Surendran kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
“Kami sedang menunggu penghakiman,” tambahnya.
Pada 2 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Singapura mensabitkan Pannir bersalah kerana mengimport tidak kurang daripada 51.84 gram diamorphine ke negara itu. Dia dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuannya pada 9 Feb 2018, manakala petisyen pengampunan kepada presiden Singapura juga ditolak.

Pannir pernah diberi penangguhan hukuman mati sebanyak dua kali. Yang pertama pada Mei 2019, apabila dia berhasrat mencabar penolakan petisyen pengampunannya dan keputusan pendakwa raya yang tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.
Penangguhan kedua diberikan pada Februari 2025 sementara menunggu keputusan permohonan pasca rayuan dalam kes hukuman mati.
Namun, Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan penangguhan itu pada 6 Sept lalu.
Sementara itu, mahkamah Singapura memutuskan bahawa adalah “spekulatif” dan “hearsay” (khabar angin) untuk menyatakan bahawa maklumat diberikan Pannir telah membawa pihak berkuasa Malaysia menahan anggota sindiket dadah.
Selain itu, Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura mewajibkan bantuan substantif diberikan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) negara itu, bukan kepada agensi penguatkuasaan asing seperti Polis Diraja Malaysia.