PARLIMEN | Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menuntut permohonan maaf daripada pengkritik berhubung pelaksanaan inisiatif MyKiosk oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Nga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada elemen jenayah berhubung siasatan dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.
“Alhamdulillah, minggu lepas SPRM dah keluarkan kenyataan bahawa tiada salah guna kuasa, tidak ada elemen rasuah.
“Maka, siapa yang baling batu jangan simpan tangan.
“Saya menuntut bagi pihak warga KPKT yang bekerja bertungkus lumus membantu rakyat, mereka yang membuat tohmahan fitnah sila mohon maaf,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di di Dewan Rakyat, hari ini.
Nga berkata demikian semasa menjawab Onn Abu Bakar (PH- Batu Pahat) yang membangkitkan persoalan berhubung pelaksanaan program MyKiosk 2.0.
Pada 21 Mei lalu, Pemuda MCA Selangor membuat laporan kepada SPRM menggesa siasatan ke atas projek MyKiosk bernilai RM250 juta bawah KPKT.
Ketuanya, Tan Jie Sen mendakwa hanya lebih separuh kios yang menelan pelaburan besar itu digunakan.
Tan juga dilaporkan berkata pihaknya ingin tahu sama ada kios, yang dilancarkan bawah fasa pertama projek MyKiosk 1.0, akan diselenggara atau dinaik taraf sewajarnya.
Tan juga meminta kementerian mendedahkan semua kos dan agensi terbabit projek itu, khasnya butiran proses tender terbuka untuk memperoleh kios berkenaan.
Sebelum ini, Pemuda MCA Pahang turut dilaporkan bersedia ke pejabat SPRM bersama DAP bagi membantu siasatan ke atas projek MyKiosk.
Sayap itu mempersoalkan kenapa kerajaan membayar RM25,000 hingga RM34,000 sedangkan harga pasaran hanya RM12,800 bagi seunit kios.
Susulan itu, SPRM memulakan siasatan berhubung dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada 4 Julai lalu berkata tiada elemen jenayah berhubung siasatan dakwaan tersebut dan siasatan SPRM yang dijalankan ketika ini adalah berkaitan isu tatakelola.
‘SPRM tak datang, kami yang pergi ke sana’
Sementara itu, Nga menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan penjawat awam, sambil mengingatkan agar jasa mereka tidak dibalas dengan tuduhan tidak berasas.
“Dulu ada pelbagai dakwaan menyatakan bahawa projek ini projek gajah putih sebagainya dan oleh kerana itu KPKT mengambil inisiatif sendiri menyerahkan, mempelawa SPRM untuk menyiasat.
“SPRM tak datang, tapi kami (KPKT) pergi ke SPRM dan bagi semua dokumen yang diperlukan.
“Kerana kita rasa penjawat awam yang berbakti, berjasa dan berkorban, pengorbanan mereka wajib dihargai dan bukannya dilempar pelbagai tuduhan tidak berasas,” tegasnya.
Nga bagaimanapun mengakui wujud kelemahan dalam pelaksanaan projek berkenaan, namun menegaskan KPKT sedang melaksanakan pembaharuan, termasuk memperkenalkan sistem "lampu isyarat" sebagai penanda aras prestasi cemerlang di lapangan.
Inisiatif MyKiosk menjadi tumpuan selepas timbul beberapa dakwaan berkaitan proses pelaksanaannya oleh pelbagai pihak, termasuk beberapa pemimpin parti dalam kerajaan.
Bagaimanapun, Nga sejak awal menegaskan pendirian untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM demi menjaga keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran yang bersih dan bertanggungjawab.
MyKiosk diwujudkan bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.
Projek ini mencapai pelaksanaan penuh menjelang akhir 2024 apabila penyerahan MyKiosk 1.0 dengan kos unit sekitar RM15,000 kepada PBT oleh kontraktor.
Dilaporkan, MyKiosk itu diselia oleh PBT dengan sewaan tidak melebihi RM300 dan pengecualian sewa pula diberikan selama enam bulan pertama pelaksanaannya.
Seterusnya MyKiosk 2.0 turut dilancarkan pada 2024 sebagai kesinambungan daripada MyKiosk 1.0 apabila 4,054 unit tambahan diluluskan dengan peruntukan RM100 juta, yang mana setiap unit boleh mencecah sehingga RM25,000 termasuk sistem solar 1,000 W, panel LED, kipas, jendela hidraulik dan struktur lebih kukuh.