Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mempertahankan pembayaran bonus enam bulan gaji kepada kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), atas alasan ia berdasarkan prestasi cemerlang syarikat.
Menjawab soalan Adun Air Putih Lim Guan Eng, Chow berkata hanya kira-kira 25 peratus kakitangan PDC menerima bonus penuh, manakala selebihnya diberi lima bulan gaji sebagai ganjaran pencapaian.

Katanya, keuntungan PDC melonjak 91 peratus – daripada RM276.6 juta pada 2023 kepada RM527.1 juta pada 2024.
PDC juga mencapai 104 peratus sasaran hasil dan berjaya menjimatkan RM8.6 juta faedah pinjaman dengan melangsaikannya lebih awal.
Bagaimanapun, Lim mempersoalkan kejatuhan besar akaun hasil disatukan negeri – daripada RM1.15 bilion pada 2019 kepada hanya RM58 juta hujung 2024 – serta hutang kerajaan negeri kepada PDC sebanyak RM300 juta.
Dalam jawapan bertulis, Chow menegaskan semua faktor itu telah diambil kira sebelum bonus diluluskan, sambil menyebut pelan pemulihan untuk projek tertangguh turut dilaksanakan.
Semenatar itu, MCA hari ini menyelar Chow berhubung pembelian 15 buah Toyota Camry 2.5V bernilai keseluruhan RM3.31 juta untuk kegunaan exco dan speaker DUN Pulau Pinang

Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA Pulau Pinang, Tan Teik Cheng menyifatkan tindakan itu sebagai “pembaziran luar biasa” ketika kerajaan negeri meminta RM100 juta pendahuluan daripada kerajaan persekutuan bagi menampung aliran tunai dan projek mega seperti LRT serta lebuh raya bertingkat Sungai Dua–Juru.
"Rakyat dibebani kos sara hidup, tapi kerajaan negeri belanja besar demi keselesaan pegawai atasan.
“Ini bukan saja salah waktu, tetapi pengkhianatan kepada amanah rakyat," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tan juga membidas rancangan kerajaan negeri menaikkan pelbagai cukai dan caj termasuk cukai hotel, lesen arak, dan caj veterinar, sambil menuntut semakan penuh terhadap perbelanjaan kerajaan.
"Jangan lagi utamakan kemewahan kepada pegawai, sedangkan rakyat terhimpit," katanya.