Naib Presiden Muda Dobby Chew mengecam Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu dan mengelirukan di Parlimen berhubung kes banduan akhir warga Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman.
Chew berkata kenyataan timbalan menteri dalam Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini adalah “tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan”, khususnya membabitkan tiga perkara utama.
Dia berkata dakwaan Shamsul bahawa Pannir bukan 'keldai' (penghantar) dadah bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Singapura pada 2017, yang secara jelas memutuskan bahawa Pannir memenuhi kriteria sebagai penghantar dadah di bawah Seksyen 33B(2)(i)(a) Akta Penyalahgunaan Dadah.
“Merujuk kepada perenggan 38 dalam alasan penghakiman tersebut, adalah jelas bahawa mahkamah memutuskan Pannir Selvam Pranthaman memenuhikriteria seorang keldai dadah di bawah Section 33B(2)(i)(a) Misuse of Drugs Act,” kata Chew pada satu kenyataan hari ini.

Chew turut membantah kenyataan Shamsul bahawa polis tidak menerima sebarang maklumat mengenai Pannir sebelum 2019, ketika Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura memaklumkan mengenai penahanannya.
“Kenyataan ini jika benar, ianya menunjukkan bahawa PDRM telah gagal mengendalikan dan menyiasat laporan polis yang dibuat oleh kakak Pannir pada 31 Oktober 2018,” katanya.
Dia juga menolak kenyataan timbalan menteri bahawa maklumat risikan diberikan Pannir “tiada nilai operasi” dengan menegaskan satu pasukan dari Bukit Aman telah dihantar ke Penjara Changi, Singapura, dan merakam kenyataan Pannir selama empat jam.
“Pannir juga telah diarahkan untuk membuat pengecaman foto beberapa individu yang terlibat dengan penyeludupan dadah.

"Kami juga difahamkan bahawa PDRM telah mengambil keterangan daripada banduan akhir Malaysia lain yang berada di dalam penjara yang sama pada hari yang sama,” tambahnya.
Chew berkata Shamsul juga gagal menjawab soalan penting, seperti status siasatan terhadap individu yang dikenal pasti oleh Pannir dan sama ada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah sebelum ini.
Dia mengingatkan bahawa kerjasama dalam siasatan jenayah rentas sempadan terletak di bawah bidang kuasa peguam negara, sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama Dalam Perkara Jenayah yang ditandatangani antara Malaysia dan Singapura.
Chew turut mempersoalkan sama ada rujukan timbalan menteri kepada “nilai operasi” risikan itu adalah cubaan untuk menyelaraskan pendirian dengan Singapura dan membenarkan penafian Sijil Bantuan Substantif (CSA), yang berpotensi menyelamatkan Pannir daripada hukuman mati.

“Kegagalan pihak kerajaan untuk membanteras sindiket dadah dengan menggunakan maklumat yang diberikan, terutamanya, apabila ahli sindiket dadah dapat dikenalpasti akan membantutkan usaha membanteras penyeludupan dadah,” katanya.
Dia seterusnya menggesa Putrajaya menilai semula apa yang disifatkannya sebagai proses siasatan tidak berkesan terhadap sindiket dadah rentas sempadan, dengan menegaskan maklumat berharga telah disia-siakan.
“Hukuman gantung terhadap Pannir Selvam Pranthaman ini bukan keadilan.
"Ianya suatu kegagalan yang hanya akan memanfaatkan sindiket dadah,” katanya.
