Keputusan mendakwa dua guru dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap hasil siasatan yang menunjukkan terdapat asas mencukupi bahawa tindakan mereka ketika merotan seorang pelajar hingga menyebabkan kecederaan telah melampaui peraturan ditetapkan.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan pihaknya juga mengambil tindakan pendakwaan agar perlindungan terhadap kesejahteraan kanak-kanak sentiasa terpelihara dan tiada yang mengambil tindakan melampaui batasan undang-undang.
AGC menegaskan bahawa pertuduhan dikemukakan terhadap dua guru terbabit bukan bertujuan merendahkan martabat profesion perguruan, sebaliknya dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk hak dan kebajikan pelajar terlibat yang merupakan pelajar berkeperluan khas (OKU).
"Jabatan ini mengiktiraf perananan besar guru dalam mendidik dan membentuk generasi bangsa.
“Pada masa sama, jabatan ini kekal komited memastikan setiap tindakan diambil adalah adil, seimbang dan berlandaskan prinsip undang-undang demi melindungi kepentingan semua pihak, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan," menurut AGC dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, AGC telah mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan terhadap dua orang guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang atas kesalahan berasingan kerana merotan seorang pelajar hingga mendatangkan kecederaan.
Pertuduhan telah dibuat pada 6 Okt 2025 masing-masing di Mahkamah Majistret (2) dan (3) Georgetown, Pulau Pinang.
Sebelum ini, media melaporkan dua guru di sebuah sekolah menengah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun dengan rotan, dua tahun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.





