Ketika kemelut dalam badan kehakiman semakin hangat diperkatakan, beberapa peguam menegaskan bahawa Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mempertahankan kebebasan badan itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, peguam Charles Hector Fernandez berkata sudah tiba masanya kuasa eksekutif, terutamanya perdana menteri, tidak lagi campur tangan dalam proses pengundian hakim.
“JAC ditubuhkan dengan fungsi yang jelas - mereka memilih dan menapis calon hakim, serta menentukan siapa yang akan dinaikkan pangkat - kemudian perdana menteri dijangka mengikut cadangan mereka.
“Jika perdana menteri patuh kepada cadangan itu, maka mungkin tiada keperluan mendesak untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Tetapi kini, nampaknya Anwar tidak mengikut cadangan JAC,” katanya.

Kebebasan kehakiman — atau pemisahan antara badan kehakiman daripada cabang eksekutif dan legislatif — merupakan prinsip utama dalam sistem perundangan.
Baru-baru ini, Majlis Peguam mengumumkan akan mengadakan perarakan pada 14 Julai bagi menuntut kebebasan kehakiman susulan kebimbangan yang semakin meningkat.
Presidennya, Ezri Abdul Wahab berkata acara yang dinamakan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman itu bertujuan menyampaikan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri yang mengandungi tuntutan.
Tuntutan tersebut termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi badan kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat JAC baru-baru ini, penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat campur tangan kehakiman dan menyelesaikan isu kekosongan jawatan hakim secara menyeluruh.
Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara (AGC) didakwa gagal menanggapi secara serius isu yang turut dibangkitkan oleh sembilan Ahli Parlimen PKR.
Ahli-ahli Parlimen PKR terbabit bimbang wujud skandal pelantikan kehakiman apabila kerajaan didakwa tidak memilih calon yang dicadangkan oleh JAC sebelum Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersara.
Namun, AGC berkata mengaitkan isu berkenaan dengan skandal VK Lingam adalah tidak wajar.
Tidak lama selepas itu, Istana Negara menitahkan agar pelantikan hakim-hakim mahkamah atasan tidak dipolitikkan.
Bebas dari politik
Dalam pada itu, peguam Nizam Bashir turut menyuarakan pandangan bahawa institusi kehakiman perlu bebas daripada campur tanga politik.

“Yang dimahukan ialah apabila satu keputusan mahkamah dibuat, ia harus disampaikan tanpa wujudnya persepsi atau kebimbangan bahawa keputusan tersebut memihak kepada pihak yang melantik,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, perkara itu boleh dielakkan jika kuasa eksekutif tidak diberi kuasa undang-undang dalam pelantikan hakim, dan menggesa agar Akta JAC dipinda untuk menterjemahkan perkara tersebut.
“Apa pun keadaannya, kerajaan kini perlu memenuhi standard yang lebih tinggi kerana mereka dipilih atas dasar platform reformasi,” tambahnya.
Berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, perdana menteri tidak terikat untuk mengikut cadangan JAC. Pelantikan hakim dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri.
Seksyen 5 Akta JAC juga memperuntukkan kuasa kepada perdana menteri untuk melantik lima daripada sembilan anggota suruhanjaya tersebut.
Sebelum ini, pakar perlembagaan dari Universiti Malaya, Shad Saleem Faruqi, mencadangkan agar Ketua Hakim Negara — bukan perdana menteri — yang menasihati Yang di-Pertuan Agong.