27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 25, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kelab golf nafi dakwaan bekas kakitangan, tegaskan proses wajar

    Shopee Sale

    Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) menafikan dakwaan seorang bekas pekerjanya yang tidak berpuas hati terhadap cara kelab itu mengendalikan aduan gangguan seksual.

    Menegaskan bahawa kelab berprestij itu telah mematuhi proses yang ditetapkan dalam menangani aduan gangguan seksual, sebuah firma guaman yang mewakili RSGC menafikan dakwaan bekas pekerja terbabit yang menuduh bekas penyelianya menghantar siri mesej WhatsApp berunsur tidak wajar.

    Mangsa terbabit, yang bercakap kepada Malaysiakini dengan syarat tidak didedahkan identitinya, sebelum ini mendakwa penyelia berkenaan — yang masih bekerja di RSGC — kerap mengenyit mata kepadanya sepanjang tempoh dia bekerja di kelab tersebut.

    Menurut firma guaman Lee Hishammuddin Allen & Gledhill, RSGC menafikan dakwaan mangsa bahawa dia diberitahu akan berdepan “risiko diberhentikan kerja” jika membuat laporan dan mendedahkan salah laku penyelia terbabit.

    “Penyiasat bebas kelab tidak menemui bukti untuk mengesahkan dakwaan pengadu bahawa dia akan berdepan ‘risiko diberhentikan kerja’ sekiranya membuat laporan pendedahan salah laku.

    “Wakil jabatan sumber manusia kelab juga menafikan perkara sama,” kata peguam itu dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

    Mengulas dakwaan mangsa bahawa penyelia terbabit dibenarkan “menyoal balas” dirinya di hadapan panel ketika siasatan dalaman, firma guaman itu menjelaskan, tiga profesional bebas — dua daripadanya wanita — mengetuai prosiding siasatan dalaman tersebut.

    “Kelab turut melantik seorang peguam bagi mengetuai pembentangan keterangan mangsa dan memastikan soalan yang dikemukakan responden (penyelia terbabit) bersifat adil.

    MENARIK:  Siasatan kes Zara Qairina tidak patuhi SOP polis - Pengarah JSJ

    “Kelab tidak membebaskan responden selepas dapatan siasatan dalaman oleh panel bebas.

    “Walaupun dapatan siasatan dalaman dibuat, kelab tetap mengambil tindakan menegur responden dengan memberi amaran keras,” katanya lagi.

    RSGC juga menegaskan “tidak benar” dakwaan mangsa bahawa penyelia terbabit telah “dibersihkan” daripada pertuduhan, kononnya atas alasan Tribunal Antigangguan Seksual tidak memberikan pampasan kewangan kepadanya sehingga kes dianggap “sangat ringan”.

    “Kelab, dalam apa jua keadaan, tidak pernah membuat kenyataan sedemikian kepada pengadu,” katanya.

    Firma itu menjelaskan menerusi sepucuk surat bertarikh 22 Julai, RSGC memaklumkan kepada pengadu mengenai keputusan siasatan dalaman yang memutuskan bahawa penyelia tersebut “tidak bersalah” terhadap dakwaan gangguan seksual.

    Namun, penyelia itu diberi amaran bahawa RSGC akan mengenakan tindakan tatatertib, termasuk pemecatan, sekiranya ada sebarang salah laku pada masa hadapan yang bercanggah dengan nilai kelab atau menjejaskan integriti operasi kelab.

    Firma guaman itu sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa kelab telah menawarkan pengaturan kerja alternatif kepada pengadu bagi memastikan dia tidak perlu terus bekerja dengan penyelia tersebut.

    Kelab juga dikatakan telah menggalakkan mangsa membuat laporan sekiranya berlaku lagi sebarang bentuk gangguan pada masa hadapan.

    Mangsa kini menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan gangguan seksual tersebut, susulan laporan polis yang dibuat pada Feb lalu.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah