Jenazah Nur Izzati Humaira Azizul, remaja perempuan yang meninggal dunia selepas hilang ketika mendaki Bukit Asa, Hulu Bernam, Hulu Selangor Sabtu lepas, dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) bagi proses bezah siasat petang ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor ACP Ibrahim Husin berkata mayat mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada 11.58 pagi tadi, selepas operasi pencarian memasuki hari keempat.
Beliau berkata mayat mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kejadian pada 1.08 tengah hari.
Tinjauan Bernama di Unit Forensik HSB mendapati jenazah mangsa tiba pada 5.20 petang.
“Siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) selepas sebelum ini dibuka sebagai kes orang hilang (OH)," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata operasi SAR selama empat hari itu melibatkan seramai 114 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), malim gunung serta sukarelawan.
Nur Izzati Humaira, 19, dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama keluarganya.
Allahyarham dipercayai mengambil keputusan untuk berjalan sendirian bagi sampai lebih awal ke kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum dilaporkan hilang.





