PRK Sabah mungkin berdepan dengan gelora dalaman dengan lebih separuh daripada ketua cabang di negeri itu mendakwa pemimpin dari Kuala Lumpur campur tangan dalam peranancangan kempen serta menentukan calon pilihan raya.
Kegelisahan itu muncul ketika Sabah bakal melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) kurang dari 60 hari dari sekarang.
Tiga sumber memberitahu, 17 ketua cabang dan timbalan ketua cabang mengadakan mesyuarat sulit di Kota Kinabalu pada Khamis lalu ekoran rasa tidak puas hati mereka dengan apa yang disifatkan sebagai “pengambilalihan pusat” bagi jentera parti dan calon.
Mesyuarat itu didakwa bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 11.15 malam.
Untuk rekod, PKR Sabah mempunyai 25 cabang.
Pusat rasa tidak puas hati mereka ialah isu "calon payung terjun" yang dicadangkan oleh pemimpin dari Kuala Lumpur.
Antara individu yang didakwa dipilih untuk diletakkan sebagai calon dalam PRN nanti ialah bekas Adun Tenom, Jamawi Jaafar, seorang bekas ahli Umno yang kemudian menyertai Warisan sebelum beralih angin kepada PKR pula.
Calon lain yang disebut ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ruji Ubi, serta anak Yang di-Pertua Negeri Sabah, Yamani Hafez Musa.
Nama-nama itu terdedah selepas senarai calon – dipercayai dibocorkan oleh orang dalam parti – tular di media sosial.
Autonomi macam tak bermakna
Seorang ketua cabang yang enggan dikenali berkata, jika calon payung terjun akhirnya mendapat kerusi tertentu, PKR tidak lagi boleh mengharapkan jentera parti di peringkat bahagian terbabit akan digerakkan.
“Akan ada protes,” katanya.
Pada mulanya, pemimpin PKR Sabah mempertimbangkan untuk bertanding 13 kerusi. Perkara itu diumumkan oleh timbalan presiden merangkap Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat Nurul Izzah Anwar.
Bagaimanapun, jumlah itu kemudiannya disemak dan menurun kepada tujuh, dengan hanya dua ketua cabang mungkin akan terpilih. Selebihnya, mereka bimbang, akan melibatkan calon payung terjun seperti Jamawi, Ruji dan Hafez.
"Tiga belas kerusi adalah angan-angan. Paling baik, ia tujuh, dan lima daripadanya akan melibatkan calon payung terjun," keluh seorang lagi ketua cabang yang turut enggan namanya disiarkan.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi PKR Sabah Mustapha Sakmud, juga didakwa tidak bertindak seperti yang diharapkan ketika kepimpinan pusat tidak mengendahkan keputusan ketua cabang.
Ada yang percaya Presiden PKR Anwar Ibrahim mungkin tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku di peringkat bawah apabila laporan kepadanya "ditapis" oleh jawatankuasa pilihan raya pusat yang diketuai oleh Nurul Izzah serta Setiausaha Agung PH, Saifuddin Nasution Ismail.
Sumber itu juga mendakwa Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Sabah – yang diketuai oleh Peto Galim – sudah diketepikan oleh pihak pusat.
"Kami menubuhkan pasukan kami sendiri, kemudian Kuala Lumpur datang untuk meruntuhkanya. Autonomi kami tidak ada apa-apa bermakna," kata sumber lain.
Malaysiakini sudah menghubungi Saifuddin untuk mendapatkan komennya.
Semalam, Saifuddin mengakui terdapat "beberapa pertindihan" dalam rundingan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PH, dan BN, tetapi menegaskan ia adalah "minimum" dan akan diselesaikan tidak lama lagi.
Kerumitan itu ditambah apabila PKR bekerjasama serentak dengan GRS dan BN tetapi secara berasingan di Sabah ketika BN dan GRS sendiri saling bertentangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat pada 16 Okt ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRN ke-17 Sabah.
[Baca berita asal]