Jawatankuasa Antarabangsa untuk Menamatkan Sekatan Gaza pada Sabtu mengumumkan dua lagi kapal menyertai gelombang terbaharu misi “Freedom Flotilla Coalition" bagi mencabar sekatan Israel ke atas Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan kapal sebanyak 11, selepas Israel menyerang Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa.
Menurut kenyataan jawatankuasa itu yang dipetik Anadolu Ajansi, dua kapal berkenaan ialah 'Ghassan Kanafani' dan 'al-Awda', yang kini membawa kira-kira 170 aktivis antarabangsa.
Flotila terbabit telah melepasi pulau Crete di Greece dan kini berada di utara Marsa Matruh, Mesir menuju ke Gaza, menurut kenyataan itu.
Antara kapal utama ialah “Kapal Doktor dan Wartawan” atau 'al-Damir (Conscience)', sebuah kapal besar yang membawa doktor serta wartawan antarabangsa dari seluruh dunia.
“Kami tidak akan meninggalkan Gaza bersendirian,” tegas jawatankuasa itu, sambil menekankan bahawa kapal-kapal terbabit bertujuan mencabar sekatan Israel dan menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah berkenaan.
“Freedom Flotilla Coalition", sebuah rangkaian kumpulan masyarakat sivil antarabangsa telah menganjurkan pelbagai percubaan sejak 2010 untuk memecahkan sekatan Gaza dan mengetengahkan krisis kemanusiaan yang berlaku.
Pada Khamis lalu, tentera laut Israel menyerang serta merampas kapal-kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla serta menahan lebih 470 aktivis dari lebih 50 negara.