Pakar penyelidik dadah menolak desakan seorang senator DAP agar kerajaan memperketat pengharaman penanaman ketum di negara ini.
Prof Madya Dr Darshan Singh dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan (CDR) Universiti Sains Malaysia (USM) berkata tiada keperluan mendesak untuk kerajaan menjenayahkan sepenuhnya penanaman ketum dengan memperketat Akta Racun 1952 mahupun meletakkan tumbuhan itu di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Undang-undang sedia ada (Akta Racun 1952) sudah memadai untuk menghalang penyalahgunaan ketum.
"(Ahli-ahli) parlimen sendiri sebelum ini (pernah) menegaskan penanaman dan penggunaan (termasuk penyalahgunaan) ketum tidak mendatangkan kesan serius seperti bahan larangan heroin atau methamphetamine,” katanya melalui pesanan ringkas kepada Malaysiakini.
Pada 10 September lalu, Anggota Dewan Negara Dr A Lingeshwaran mendesak kerajaan memperketatkan Akta Racun 1952 dengan memperkukuh larangan penanaman ketum.
Pemimpin DAP itu menegaskan ketum merupakan isu "mendesak yang melibatkan keselamatan rakyat, kesihatan awam dan masa depan generasi muda negara."
Bagaimanapun, Darshan menegaskan isu ketum sudah berlarutan lebih 15 tahun dan perbahasannya sudah berulang kali dibawa ke Parlimen.

Katanya, kerajaan sepatutnya mempergiat kajian bagi menentukan profil keselamatan, mudarat dan manfaat tumbuhan itu, bukannya menyegerakan larangan total.
Darshan mengingatkan yang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga belum menemui bukti kukuh untuk mewajarkan pengharaman ketum di peringkat antarabangsa.
“Ketum dan alkaloid aktif utamanya (Mitragynine) telah dibawa ke perhatian Jawatankuasa Pakar Kebergantungan Dadah WHO – yang membuat kesimpulan bahawa pada masa ini, tiada bukti kukuh untuk mewajarkan penjadualan atau pengharaman ketum di bawah Konvensyen Kawalan Dadah Antarabangsa," jelasnya.
'Bukan pilihan utama penagih'
Mengulas hujah ketum boleh menjadi ‘pintu masuk’ kepada dadah yang lebih bahaya, Darshan berkata tiada kajian yang menyokong dakwaan itu.
“Realitinya, majoriti pengguna ketum adalah mereka yang berusaha keluar daripada ketagihan (dadah berat).
"Mereka guna ketum untuk rawat diri sendiri, bukan untuk beralih kepada dadah lain,” jelasnya.
Menurutnya lagi, larangan total bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah di negara ini, malah boleh menimbulkan isu baru kepada pihak berkuasa.
“Dadah berbahaya tetap menjadi pilihan utama penagih, bukan ketum,” katanya.
Alat rawatan, bukan ancaman
Darshan menjelaskan ketum digunakan secara tradisi sejak berabad lamanya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara sebagai ubat demam, sakit, cirit-birit dan tonik tenaga kepada pesawah.
Malah, katanya, hari ini ketum — atau kratom — dilihat sebagai komoditi bernilai tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah kerana khasiat perubatannya. Beberapa negeri di sana menurutnya membenarkan penggunaan ketum dengan kawalan tertentu bagi mengelak campuran berbahaya.
Semakan Malaysiakini mendapati harga pasaran dalam talian untuk serbuk ketum antara AS$8 ke AS$20 bagi setiap auns (28 gram) manakala kapsul ketum antara AS$15 ke AS$30 bagi setiap botol 50 biji.

'Belajar daripada Thailand'
Sementara itu, Darshan mencadangkan reformasi dasar penyalahgunaan dadah supaya berasaskan bukti untuk menangani bahan seperti ketum yang mudaratnya jauh lebih rendah berbanding bahan terlarang berbahaya.
Katanya, ini memandangkan selama berdekad lamanya, undang-undang negara yang keras dengan membawa hukuman mati masih gagal menangani masalah penyalahgunaan dadah.
“Ketum perlu dilihat sebagai sebahagian daripada dasar pengurangan mudarat (harm reduction), sama seperti metadon dan program penukaran jarum suntikan (dalam membendung penularan HIV),” tegasnya.
Ditanya mengenai langkah terbaik berkenaan ketum, Darshan berkata kerajaan boleh mencontohi Thailand yang sudah menghalalkan tumbuhan itu untuk tujuan perubatan dengan kawalan tertentu.
“Undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengekang salah guna.
“Namun, kerana ketum memberi manfaat kepada ratusan hingga ribuan orang—terutamanya pengguna dadah dan pengguna tradisional dalam komuniti—pembuat dasar wajar memberi kelonggaran kepada orang ramai untuk menggunakan ketum bagi tujuan perubatan,” katanya.
Sementara itu, pakar psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid memberitahu Malaysiakini kajian mendapati pengguna ketum boleh bekerja seperti biasa dan boleh berfungsi dalam masyarakat, tidak seperti penagih dadah.
Rusdi berkata kajian dari rumah ke rumah yang dijalankan Universiti Malaya pada 2028 Utara Semenanjung mendapati 24 peratus penduduk berumur 18 tahun dan ke atas ada menggunakan ketum dalam tiga bulan pertama.

"Dua pertiga daripadanya yang menggunakan ketum secara harian atau selang sehari adalah penoreh getah yang agak berumur. Mereka mempunyai penyakit sakit-sakit sendi yang membataskan mereka pergi menoreh setiap hari.
"Mereka hanya menggunakan daun ketum yang direbus sendiri di rumah dan meminumnya seperti air teh dalam segelas sehari atau selang sehari.
"Mereka ini tiada masalah dari segi ketagihan dan dapat bekerja secara optimum dan tahap kesihatan fizikal yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mengambil ketum," kata pakar yang berpengalaman dalam bidang rawatan dan pemulihan dadah selama kira-kira tiga dekad.
Rusdi berkata satu pertiga daripada responden kajian pula merupakan golongan bekas pengguna heroin dan pil yaba.
"Mereka dulunya terpaksa mengambil ketum kerana tiada bekalan (dadah). Mereka ini tidak menunjukkan gejala psikosis dan dapat bekerja secara tetap di sektor pekerjaan masing," jelas Rusdi lagi.