Pakar serta persatuan berkaitan kesihatan memberikan reaksi bercampur-campur terhadap pengumuman peruntukan RM46.5 bilion bagi sektor kesihatan awam dalam Belanjawan 2026.
Secara umum, mereka menyambut baik komitmen berterusan kerajaan terhadap penjagaan kesihatan.
Namun sesetengah mereka menyuarakan kekecewaan terhadap beberapa isu yang dilihat gagal diselesaikan termasuk fi perundingan, penjagaan warga emas, subsidi gula, penjagaan primer, tembakau, serta pembaharuan pembiayaan sistem kesihatan.
Mengulas pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata belanjawan kali ini mencerminkan pengiktirafan terhadap keperluan mengukuhkan sistem kesihatan sejajar dengan Kertas Putih Kesihatan, selain menampilkan langkah penting dalam aspek infrastruktur, tenaga kerja dan kerjasama awam-swasta.
"Kami menghargai kenaikan elaun atas panggilan, yang merupakan pengiktirafan yang sewajarnya terhadap dedikasi yang ditunjukkan oleh doktor dan pakar. Bagaimanapun, kami menunggu butiran mengenai pelaksanaan dan kuantum kenaikan terutamanya untuk kadar panggilan pegawai perubatan.
"Penciptaan 4,500 jawatan tetap untuk doktor kontrak adalah satu lagi langkah positif yang mesti dipadankan dengan peranancangan jangka panjang yang betul untuk perananan penjagaan kesihatan kritikal yang lain," katanya.

MMA turut mengalu-alukan semakan fi perundingan pengamal perubatan am (GP) selepas 17 tahun.
Namun, persatuan itu berkata keputusan mengekalkan kadar minimum RM10 — yang tidak berubah sejak Jadual Yuran MMA 1992 — adalah mengecewakan dan gagal menggambarkan nilai sebenar GP sebagai penyedia penjagaan barisan hadapan.
"MMA telah lama meminta minimum RM50, kerana lebih 60 peratus pesakit datang melalui TPA (Third Party Administrator) dan syarikat yang membayar di bawah RM35.
“Dengan lebih 10,000 klinik di seluruh negara, kadar rendah ini boleh meningkatkan tekanan kewangan dan menyebabkan model ini tidak lagi mampan dalam masa terdekat,” katanya.
Persatuan itu juga menyokong kenaikan duti eksais ke atas tembakau dan alkohol sebagai langkah mengurangkan penyakit tidak berjangkit.
Namun, ia mengulangi pendirian tegas agar vape diharamkan sepenuhnya serta-merta berikutan kesan kesihatan yang semakin membimbangkan terhadap golongan muda.
Galen: Peruntukan hanya naik sedikit
Ketua Eksekutif Pusat Dasar Kesihatan & Sosial Galen, Azrul Mohd Khalib, pula menyifatkan peruntukan kesihatan dalam Belanjawan Persekutuan 2026 menunjukkan hala tuju yang positif dalam beberapa bidang utama, khususnya pemodenan infrastruktur fizikal dan penambahbaikan sumber manusia.
Namun, katanya, ia masih lemah dalam beberapa aspek seperti penjagaan warga emas, subsidi gula, penjagaan primer, kawalan tembakau dan pembaharuan pembiayaan kesihatan.
"Pada tahun 2018, laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menyatakan bahawa sistem kesihatan awam terlalu sesak, kekurangan kakitangan dan mengalami kekurangan pelaburan. Sekarang sudah tahun 2025 tetapi keadaan masih serius dan dalam krisis," katanya.

Azrul mempersoalkan peningkatan peruntukan kesihatan yang hanya naik 2.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, atau sekitar RM1.3 bilion — hampir sama dengan peningkatan kerajaan sebelum ini.
Katanya, peruntukan untuk kesihatan hanya merangkumi 9.9 peratus daripada jumlah Belanjawan Persekutuan 2026 sebanyak RM470 bilion.
"Hampir semua peningkatan itu akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus. Kementerian Kesihatan (KKM) akan menerima RM39.78 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM6.74 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
"Peruntukan pembangunan yang kekal tidak berubah ini tidak memberi petanda baik untuk kesiapsiagaan masa depan dan peningkatan pelaburan dalam sektor kesihatan, khususnya ketika Malaysia berdepan pelbagai krisis kesihatan termasuk penyakit tidak berjangkit dan populasi yang semakin menua.”
Penjagaan warga emas dan subsidi gula
Azrul turut kecewa dengan kekurangan tumpuan terhadap penjagaan warga emas, sedangkan golongan berumur 60 tahun ke atas dijangka meningkat kepada 15.3 peratus atau 5.8 juta menjelang 2030.
"Kita masih tidak cukup bersedia dalam infrastruktur dan perkhidmatan yang berkaitan dengan penjagaan warga emas... rawatan dan penjagaan empat kali ganda lebih mahal, dan warga tua berkemungkinan menderita serta ketinggalan jika isu ini tidak ditangani," katanya.

Dia juga menyatakan rasa terkejut dengan keputusan kerajaan mengekalkan subsidi gula meskipun kempen “Perang Terhadap Gula” masih berjalan.
"Walaupun cukai minuman manis (SSB) mengutip anggaran RM400 juta setiap tahun, subsidi gula membebankan pembayar cukai antara RM500 juta hingga RM600 juta," katanya.
Tambahnya, harga gula sepatutnya diapungkan dan dana itu digunakan bagi membiayai penjagaan warga emas.
Azrul turut melahirkan kehairanan terhadap pengurangan peruntukan Skim Perubatan Madani sebanyak 50 peratus kepada RM50 juta.
"Ini dianggap sebagai salah satu program yang lebih berjaya memfokuskan kepada penjagaan primer. Ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan dan membantu kumpulan B40 mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer akut atau rawatan klinik pesakit luar (GPS) berdekatan.
"Kami sebelum ini menyifatkan skim ini sebagai game changer yang berpotensi. Apa sebenarnya berlaku dan mengapa program yang berjaya ini dikurangkan peruntukan?" tanya Azrul.
Skim Perubatan Madani diperkenalkan oleh Anwar ketika pembentangan Bajet 2023 bagi memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah, menggunakan model perkongsian awam-swasta.
Pensyarah UiTM: Isu doktor kontrak diberi perhatian
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Dr. Noor Syafinas Muda, menyifatkan belanjawan kali ini memberi tumpuan wajar terhadap isu doktor kontrak dan kebajikan petugas kesihatan.
Katanya, tumpuan seumpama itu wajar dipuji sebagai langkah progresif yang menzahirkan komitmen Kerajaan Madani khususnya selepas sektor kesihatan awam telah lama menanggung tekanan akibat kekangan sumber manusia, terutamanya semasa dan selepas pandemik Covid-19.
"Isu status jawatan doktor dan jururawat kontrak ini merupakan antara isu penting yang menjadi perhatian dalam Bajet 2026. Bajet 2026 telah meluluskan seramai 4,500 doktor kontrak dan 935 jururawat graduan Institut Latihan KKM ke lantikan jawatan tetap pada tahun hadapan.
"Inisiatif ini menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan mereka serta menjamin kesinambungan perkhidmatan kesihatan awam yang lebih stabil dan berkualiti. Dengan penyerapan tetap ini, kerajaan juga berpotensi mengurangkan kadar migrasi profesional kesihatan ke luar negara, fenomena yang sebelum ini menjejaskan keupayaan negara mengekalkan bakat perubatan terbaik," katanya kepada Malaysiakini.
Dia turut menyambut baik pelarasan fi perundingan pengamal perubatan am daripada RM10–RM35 kepada RM10–RM80, namun mengingatkan agar langkah itu tidak membebankan rakyat luar bandar yang bergantung pada klinik swasta.
Dr Noor Syafinas juga memuji peningkatan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) sebanyak 40 peratus kepada doktor pakar, pegawai perubatan dan pegawai pergigian — daripada RM250 kepada RM350 bagi panggilan aktif pada hari cuti.
Namun dia menegaskan, insentif kewangan semata-mata tidak mencukupi untuk membina sistem kesihatan mampan.
"Kerajaan perlu menilai semula struktur kerja, beban pentadbiran, dan peluang pembangunan profesional bagi petugas kesihatan. Jika kenaikan elaun tidak disertai dengan reformasi organisasi dan peningkatan kapasiti fasiliti, masalah lama seperti masa menunggu pesakit yang panjang dan kekurangan doktor di hospital daerah akan kekal berulang.
"Dalam konteks ini, dasar pengambilan tenaga tambahan mesti diselaraskan dengan strategi jangka panjang seperti pengagihan sumber manusia kesihatan mengikut keperluan geografi dan beban penyakit," katanya.
Katanya, kejayaan sebenar belanjawan ini bukan sahaja terletak pada jumlah peruntukan, tetapi sejauh mana ia mampu memperbaiki kehidupan rakyat dan memperkukuh daya tahan sistem kesihatan awam Malaysia