Kerja-kerja baik pulih bangunan kedutaan Malaysia di luar negara dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kemampuan peruntukan, kata Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata banyak bangunan pejabat perwakilan negara sudah berusia dan memerlukan penyelenggaraan besar namun peruntukan yang diterima kementerian itu agak terhad setiap tahun.
Antara kerja baik pulih bangunan kedutaan yang sedang dilaksanakan adalah di Canberra, Australia dan Paris manakala proses pembaikan di Bangkok telah siap, sementara kerja baik pulih di Moscow pada peringkat akhir.
“Masalah kita sama seperti kementerian lain, kita minta banyak (peruntukan) tetapi yang diluluskan sedikit. Jadi macam kain pelekat senteng, tarik ke atas nampak lutut, tarik ke bawah nampak pusat.
“Jadi kerja-kerja baik pulih ini kita buat secara berperingkat, mengikut keutamaan dan kemampuan peruntukan yang ada,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul berkenaan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad berkata penyelenggaraan bangunan dilaksanakan dengan menggunakan khidmat syarikat pengurusan fasiliti di beberapa pejabat perwakilan terutamanya bagi bangunan yang dimiliki kerajaan Malaysia di luar negara.
Bagaimanapun katanya terdapat negara tertentu seperti United Kingdom yang memerlukan khidmat penyelenggaraan dipecahkan mengikut kepakaran masing-masing termasuk sistem paip, elektrik dan kemudahan lain, menjadikan kerja penyelenggaraan lebih kompleks.
Menyentuh isu perjawatan di kementerian itu, Mohamad berkata setakat ini hanya 1,422 perjawatan berjaya diisi daripada jumlah keseluruhan 1,709 jawatan yang diperlukan iaitu kekurangan 287 pegawai atau kira-kira 17 peratus kekosongan.
Beliau berkata isu kekurangan petugas itu dijangka dapat diredakan selepas berakhirnya kepengerusian ASEAN oleh Malaysia yang menyebabkan ramai pegawai dihantar membantu urusan Sekretariat ASEAN.
“Di Wisma Putra sahaja terdapat 97 jawatan kosong manakala di pejabat perwakilan luar negara pula terdapat 190 jawatan kosong.
“Selepas ASEAN, pegawai-pegawai yang kita kumpulkan di sini (bagi Sidang ASEAN) akan kita hantar semula ke jabatan-jabatan atau pejabat perwakilan yang mengalami kekurangan perjawatan begitu ketara,” katanya.