Menjelang hujung tahun, ramai mula mengambil masa untuk menyemak semula kedudukan kewangan masing-masing. Ada yang membuka semula rekod bank dan ada juga yang mula membuat kira-kira ringkas sebelum melangkah ke tahun baharu.
Ini merupakan tempoh biasa untuk melakukan semakan tahunan, melihat apa yang telah diselesaikan dan apa yang masih berbaki.
Antara perkara yang lazim diberi perhatian termasuk saman dan kompaun tertunggak, urusan cukai dengan LHDN, status simpanan dan pelaburan serta komitmen tahunan seperti insurans dan takaful
Semua ini dianggap rutin. Namun, apabila aliran tunai dan jumlah pendapatan mula diteliti dengan lebih terperinci, ada satu perkara penting yang ramai kerap lupa iaitu zakat.
Zakat: Bukan sekadar kewajipan tahunan
Dalam kebanyakan kes, zakat bukan sengaja diketepikan. Kekeliruan tentang kaedah pengiraan, jenis zakat yang terlibat atau anggapan bahawa bayaran terdahulu sudah mencukupi antara faktor utama ia tertangguh.

Ada juga yang menunggu sehingga hujung tahun kerana mahu melihat gambaran pendapatan sebenar sebelum membuat kiraan akhir.
Apa yang ramai tak sedar sebenarnya zakat bukan hanya kewajipan tahunan tetapi ia juga berkait dengan urusan cukai pendapatan.
Zakat & rebat cukai
Di Malaysia, zakat yang dibayar kepada institusi zakat yang diiktiraf boleh ditolak terus daripada jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar. Ini bermakna zakat berfungsi sebagai rebat cukai, bukannya sekadar potongan ke atas pendapatan bercukai.
Secara ringkas, kiraannya adalah seperti berikut:
Cukai akhir = Cukai asal – Jumlah zakat dibayar
Sebagai contoh, sekiranya cukai pendapatan yang perlu dibayar selepas kiraan LHDN adalah sebanyak RM5,000 dan jumlah zakat yang dibayar sepanjang tahun ialah RM3,000, maka cukai akhir yang perlu dilunaskan hanyalah RM2,000.
Sekiranya jumlah zakat yang dibayar sama atau melebihi jumlah cukai, cukai pendapatan boleh menjadi sifar. Walau bagaimanapun, pembayar cukai masih perlu mengemukakan e-Filing seperti biasa.
Bagi memastikan zakat boleh dituntut sebagai rebat cukai, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dipatuhi. Zakat mestilah dibayar kepada institusi zakat yang diiktiraf dan resit rasmi perlu disimpan dengan baik sebagai dokumen sokongan semasa e-Filing.
Tanpa resit, bayaran zakat tidak boleh dituntut walaupun ia telah dibuat.
Belum terlambat untuk korang tunaikan zakat

Hujung tahun sering menjadi waktu paling sesuai untuk menunaikan zakat kerana jumlah pendapatan dan simpanan sudah lebih jelas. Bonus, insentif atau pendapatan tambahan juga kebiasaannya telah diterima, sekali gus memudahkan semakan keseluruhan kedudukan kewangan.
Atas sebab itu, zakat di hujung tahun bukan lagi keputusan tergesa-gesa, sebaliknya sebahagian daripada perancangan kewangan yang lebih tersusun.
Haa.. Kalau korang belum selesaikan pembayaran zakat, inilah masa yang sesuai!
Layari laman web rasmi Pusat Pengutan Zakat Kuala Lumpur di SINI untuk maklumat lanjut.
The post Zakat Dalam Checklist Kewangan Akhir Tahun – Penting atau Tidak? first appeared on OHBULAN!.





