Pelakon dan usahawan Tya Arifin mengakui pernah mengalami kejutan budaya apabila pertama kali berpuasa di Malaysia.
Berbeza dengan Indonesia
Menerusi video dimuat naik di Instagram, Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin mendedahkan perkara yang membuatkannya terkejut selain berkongsi perbezaan berpuasa di Malaysia dan Indonesia.
Jelas Tya, undang-undang di negara ini ketika bulan Ramadan lebih ketat berbanding di Indonesia.
Ketika pertama kali berpuasa di Malaysia, suami saya ada cakap kalau ada individu buka puasa (dengan makan di kedai makan) akan ditangkap polis.
Pada awalnya saya tidak percaya tetapi setelah melihat berita di media sosial saya rasa sangat extreme.
Di Indonesia tidak sama seperti di Malaysia. Ada di antara mereka yang makan pada waktu siang (ada sebab tertentu) di khalayak ramai. Tetapi di Malaysia, makan di tempat yang tertutup. Lebih strict.
Banyak bazar dibuka di Malaysia
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu turut menyatakan suasana ketika bulan Ramadan di Malaysia agak meriah berbanding di negara jiran kerana banyak bazar dibuka di setiap kawasan.
Bazar Ramadan di Malaysia lebih besar. Indonesia ada tapi khususnya di Palembang tak terlalu banyak.
Kemudian yang ketiga, ketika saya duduk di Palembang ada kanak-kanak yang akan kejutkan sahur guna alatan gendang. Situasi meriah itu akan kejutkan kita.
Kalau di Malaysia, saya tidak pernah dengar ada kanak-kanak kejutkan sahur, Tetapi mungkin sebab saya tinggal di Kuala Lumpur.