
Foto: Malaysia Gazette
Penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menegaskan bahawa adalah tidak wajar memberi gelaran buruk seperti ‘penyondol’ kepada isteri kedua.
‘Tak boleh panggil penyondol’
Menerusi video yang dikongsikan semula di TikTok, Ustaz Azhar menjelaskan bahawa penggunaan gelaran ‘penyondol’ menunjukkan seolah-olah kita tidak reda dengan apa yang telah dihalalkan oleh Allah SWT.
lsteri kedua sekarang dipanggil penyondol. Tak boleh panggil penyondol sebab itu adalah gelaran yang buruk.
Ustaz Azhar menjelaskan, Islam membenarkan seorang lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu, asalkan ia dilakukan mengikut syarat yang ditetapkan.
Oleh itu, mencemuh atau memberi gelaran buruk kepada isteri kedua tidak sepatutnya berlaku kerana ia bertentangan dengan ketetapan yang telah dibenarkan oleh agama.
Bila Allah SWT dah benarkan berkahwin tapi kita beri gelaran yang buruk, maknanya seolah kita tak suka pada Allah SWT.
Bagaimanapun, pendakwah itu mengingatkan bahawa apa yang benar-benar salah adalah apabila seorang wanita yang berkahwin sebagai isteri kedua berusaha menghasut suami supaya menceraikan isteri pertama.
Perbuatan sedemikian dianggap jahat kerana memecah-belahkan rumah tangga. Sebaliknya, jika seorang wanita menjadi isteri kedua tanpa melakukan kezaliman atau penghasutan, dia tetap seorang yang baik di sisi agama.
Yang buruknya kalau isteri kedua ni berkahwin tapi dia hasut suami supaya ceraikan isteri pertama, itu jahat.
Kalau dia kahwin jadi isteri kedua tapi dia tak jahat dan tidak menghasut, dia orang baik.
Tambahnya lagi, semua yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT dan sebahagian daripada perjalanan hidup yang penuh dengan cabaran dan ujian.
Oleh itu, adalah penting untuk setiap Muslim sentiasa bersabar serta memahami setiap ujian sebagai peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.





