Dua penyanyi tersohor, Anuar Zain dan Ziana Zain, sepakat menyatakan mereka tidak bersetuju dengan penggunaan istilah ‘pelapis’ dalam industri muzik tempatan kerana berpendapat setiap penyanyi mempunyai keunikan tersendiri.
Artikel Berkaitan: Ziana Sebak ‘Konsert Empat’ Jadi Persembahan Pertama Tanpa Arwah Bapa – ‘Nasihat Dia Terngiang Sampai Sekarang‘
Tiada istillah pelapis

Anuar, 54, berkata, istilah tersebut seolah-olah meletakkan seseorang penyanyi baharu di bawah bayangan artis lain, lantas menimbulkan tanggapan kurang sihat dalam kalangan peminat dan industri.
Setiap orang lahir dengan karakter dan tona suara yang berbeza. Walaupun ada penyanyi yang mungkin terinspirasi daripada penyanyi lain, tetapi pada akhirnya mereka tetap diri sendiri.
Apabila ada yang mengatakan penyanyi A ialah pelapis kepada penyanyi B, saya tidak setuju. Masing-masing unik dengan gaya dan kekuatan tersendiri.
Saya juga kurang selesa dengan istilah pelapis kerana seolah-olah menidakkan keaslian seseorang artis. Malah, kadangkala boleh menyebabkan penyanyi lain dilihat ego atau terlalu membandingkan diri.
Tambah pelantun lagu Sedetik Lebih itu lagi, penggunaan istilah berkenaan juga boleh mencetuskan stigma terhadap penyanyi baharu yang sedang membina nama.
Kalau orang kata penyanyi baharu itu pelapis kepada saya, secara tidak langsung membuatkan orang memandang rendah kepada bakat baharu tersebut.
Sementara itu, Ziana yang turut senada dengan pandangan Anuar menjelaskan tidak wajar ada perbandingan antara penyanyi lama dan baharu kerana setiap individu mempunyai perjalanan dan perjuangan masing-masing.
Sebagai penyanyi, kita semua mahu menjadi yang terbaik dari hari ke hari. Saya sendiri bersyukur dengan segala rezeki dan nikmat yang Allah kurniakan sepanjang berada dalam industri ini.
Bagi saya, tidak perlu wujud istilah pelapis atau perbandingan siapa lebih baik. Apa yang penting ialah bagaimana kita boleh terus menyumbang sesuatu yang bermakna kepada komuniti dan industri muzik.
Untuk info, Anuar dan Ziana bersama Syamel serta Ernie Zakri bakal bergabung dalam sebuah konsert mega yang diberi nama Konsert Empat.
Konsert Empat bakal berlangsung di Mega Star Arena, Plaza Sungai Wang pada 18 Oktober ini dan tiket konsert boleh dibeli di http://www.ticket2u.com.my/empatkl.
The post Anuar & Ziana Zain Tak Sokong Istillah ‘Pelapis’ Penyanyi – ‘Masing-Masing Unik Dengan Kekuatan Tersendiri’ first appeared on OHBULAN!.