Seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) kini dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon, Israel, sebelum menaiki pesawat khas ke Istanbul, Turkiye bagi proses pulang ke tanah air.
Artikel Berkaitan: Fazura Tangguh Post Video Hadiah ‘Birthday’ Fatima, Hormat Isu GSF & Rakyat Gaza
Dalam perjalanan pulang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kesemua sukarelawan terbabit akan diterbangkan ke Istanbul hasil persetujuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang turut membantu menguruskan urusan pembebasan melalui kerjasama penuh kerajaan Turkiye.
Pada Jumaat, tiga daripada sukarelawan Malaysia agak keberatan untuk menandatangani arahan pengusiran dari Israel.
Namun selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery, mereka akhirnya bersetuju.
Alhamdulillah, kini semua 23 orang dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Ramon untuk menaiki pesawat khas ke Istanbul.
Anwar memaklumkan, sebaik tiba di Istanbul, kumpulan sukarelawan berkenaan akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan pemulihan selama satu hingga dua hari berikutan trauma serta tekanan dialami ketika ditahan oleh tentera Israel.
Saya bersetuju agar mereka direhatkan dahulu di Istanbul sebelum dibawa pulang ke Malaysia, dijangka esok malam atau lusa (Isnin). Buat masa ini, berita yang kita terima sangat menenangkan.
Menurut Anwar lagi, rundingan yang dijalankan bukan hanya menumpukan kepada keselamatan rakyat Malaysia, tetapi merangkumi kerjasama antarabangsa termasuk Turkiye, Indonesia dan beberapa negara Eropah lain yang turut terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut.
Setakat ini, saya menumpukan sepenuh perhatian untuk memastikan rakyat Malaysia dibebaskan sepenuhnya dan dapat pulang dengan selamat. Alhamdulillah, kita doakan perjalanan mereka dipermudahkan hingga tiba ke KL.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap keberanian para aktivis dan sukarelawan GSF yang telah menyumbang kepada kesedaran global mengenai penindasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin.
Mereka mungkin tidak sempat sampai ke Gaza, tetapi sumbangan mereka besar membangkitkan kesedaran ratusan juta rakyat dunia bahawa rejim ini bukan hanya menentang kumpulan pembebasan Palestin, tetapi turut menyekat bantuan kemanusiaan.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Malaysia menyokong usaha rundingan damai antarabangsa yang antara lain menyeru kepada gencatan senjata, kebebasan Gaza dan pembebasan semua tahanan Palestin serta Israel.
The post 23 Pejuang Global Sumud Flotilla Bebas, Dijangka Pulang Esok Malam Atau Isnin first appeared on OHBULAN!.