Semua calon yang bertanding di bawah panji Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dikehendaki menandatangani bon bernilai RM10 juta, kata presiden parti itu, Mohd Shafie Apdal.
Dia yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata, langkah tersebut diambil bagi mengekang budaya melompat parti yang berakar umbi dan menggugat kestabilan kerajaan negeri sebelum ini, termasuk sewaktu Warisan mentadbir suatu ketika dulu.
"Apabila mereka menggunakan logo parti kita, kita letakkan bon RM10 juta untuk mengikat mereka bagi menghalang mereka bertanding kemudian dan mengelak politik dijadikan sebagai medan mengejar ganjaran," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.
Terdahulu Mohd Shafie melancarkan moto Warisan menjelang PRN Sabah tidak lama lagi.
Mohd Shafie berkata, perlembagaan Warisan sudah memperuntukkan seseorang itu akan terlucut keanggotaannya dan kerusi yang dimenangi secara automatik jika mereka meninggalkan parti atau dipecat.
kehilangan keahlian dan kerusi secara automatik jika wakil rakyat keluar atau dipecat.
Bon itu, tambahnya, akan mengukuhkan peruntukan perlembagaan dengan tambahan kekangan kewangan kepada seseorang wakil rakyat.
Mohd Shafie juga berkata, Warisan tidak akan menutup pintu kepada bekas ahli yang ingin kembali tetapi menegaskan mereka tidak akan diletakkan sebagai calon.

Syarat berkenaan, kata bekas Naib Presiden Umno itu lagi, termasuk individu yang sebelum ini memenangi kerusi di bawah logo Warisan.
"Jika mereka mahu menyertai semula Warisan, kita tidak menolak mereka, tetapi mereka tidak boleh menjadi calon," katanya.
Dia menjelaskan langkah tersebut diambil bagi membolehkan Warisan menolak kumpulan yang suka mengambil kesempatan atau pembelot berulang.
Untuk rekod di ambang krisis kerajaan Sabah selepas PRN 2020 dulu, terdapat 13 daripada 29 Adun Warisan berpaling tadah.
Sementara itu, Warisan hari ini melancarkan slogan barunya, Selamatkan Sabah yang diiringi logo merah, putih dan biru.
"Dalam perjuangan ini, mesti ada perpaduan - bukan sahaja semangat atau ucapan, tetapi slogan yang wujud untuk mengikat, mahu menyelamatkan Sabah," kata Shafie.
Jelasnya, pelancaran slogan itu sebelum peruntukan kerusi dimuktamadkan adalah bertujuan untuk memastikan ketekalan mesej di seluruh negeri.
[Baca berita asal]