PAU 2024 | Dalam usaha menyatu-padukan orang Melayu di negara ini, Umno digesa menjadi tonggak dan penggerak utama bersama badan bukan kerajaan (NGO) atau parti-parti politik Melayu.
Berucap ketika membahaskan ucapan dasar presiden, jurucakap Umno Kedah Aminuddin Omar berkata saranan itu dibuat ekoran perpecahan orang Melayu ketika ini.
“Kalau dulu orang Melayu hanya mempunyai dua pilihan iaitu sama ada Umno atau PAS, pemikiran orang yang sederhana akan bersama Umno dan yang ekstrem agama akan pilih PAS.
“Tetapi hari ini orang Melayu telah berpecah kepada parti-parti lain akibat kerakusan dan tamak kuasa,” katanya katanya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Katanya, langkah yang betul perlu diambil untuk memastikan kuasa politik orang Melayu tidak dipecahbelahkan oleh mana-mana pihak.
"Tindakan yang tuntas perlulah dilakukan dengan segera," katanya.
Mengulas lanjut, Aminuddin turut membangkitkan persoalan sampai bila parti itu ingin melihat kedudukan orang Melayu dalam negara ini seperti keadaan sekarang.
Menurutnya, perkara itu juga tidak menguntungkan nasib bangsa, selain melahirkan keyakinan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkemampuan melaksanakan agenda bagi mengembalikan kekuatan dan kesepaduan orang Melayu di Malaysia.
"Saya merayu kepada presiden, ambillah tanggungjawab yang besar ini demi anak bangsa, agama dan tanah air tercinta ini.
"Kita tidak rela lagi melihat keadaan orang Melayu hari ini yang sentiasa bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan merugikan bangsa kita sendiri," katanya.