26 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 28, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Pertemuan M’sia, Nepal lebih dari sekadar ranking Fifa

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Mungkin untuk sementara kita ketepikan dulu isu panas mengenai cadangan melantik Hamidin Mohd Amin selaku Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    Hal itu kerana ada episod lebih penting menunggu kita hari ini, iaitu Harimau Malaya akan turun ke gelanggang menentang Nepal dalam aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, malam ini.

    Memang komuniti bola sepak negara amat teruja mahu melihat apakah ‘selera baru’ yang ada pada seluruh pasukan kali ini.

    Pertembungan malam nanti juga penting buat Presiden FAM, Mohd Joehari Mohd Ayub. Dalam diam-diam dia pasti menyimpan hajat besar mahu melihat kemenangan skuad Malaysia terlakar di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri.

    Ia boleh menjadi hadiah bermakna bagi Mohd Joehari selepas 39 hari memegang jawatan tertinggi dalam persatuan sejak. Dia dipilih sebagai presiden baru dalam kongres pengundian FAM penggal 2025-2029 pada Feb 15 lalu.

    Bagi supremo baru berasal dari Beaufort, Sabah itu, tarikh berkenaan juga kebetulan sama dengan tarikh kelahirannya pada Mei 15, 1966.

    Jadi apakah kemenangan malam ini - andainya Harimau Malaya beroleh kejayaan - boleh dilihat sebagai satu tuah awal bagi presiden baru FAM?

    Untuk jadi kebanggaan negara

    Tiga mata tersebut - jika berjaya dituai - setidak-tidaknya boleh memberi nafas baru kepada pemimpin FAM dalam usaha menyambung urusan mentadbir badan pemayung sukan bola sepak negara secara lebih yakin selepas ketiadaan Hamidin.

    Senario sama juga turut akan dirasai ketua jurulatih baru, Peter Cklamovski, yang harus terasa gementar sedikit apabila berdepan perlawanan antarabangsa pertama buat dirinya bersama skuad negara.

    Dengan reputasi besar, pengendali berusia 46 tahun dari Sydney, Australia itu perlu mencari formula terbaik menewaskan Nepal di hadapan penyokong Malaysia pada ujian pertama mereka.

    Apa pun, Cklamovski berkata, dia tidak pernah rasa tekanan walaupun ada yang cuba membandingkan dia dengan pengendali terdahulu Harimau Malaya.

    Dalam kes ini, dia mungkin merujuk kepada bekas jurulatih, Kim Pang-gon dari Korea Selatan yang meletakkan jawatan pada 16 Jul 2024 atas isu peribadi.

    Peter Cklamovski

    “Tekanan tiada dalam kamus saya dan perlawanan menentang Nepal bukan mengenai diri saya,” katanya kepada Berita Harian tempoh hari.

    “Ini adalah mengenai skuad Harimau Malaya yang dibentuk untuk menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dengan corak permainan menghiburkan.”

    Joehari dan Cklamovski pasti lebih ghairah menunggu perlawanan penting ini berbanding penonton kita. Jika boleh mereka mahu mengelak menanggung detik hampa dalam ujian pertama masing-masing.

    Stadium SSI di Johor yang serba canggih itu juga mungkin akan lebih kerap digunakan sebagai gelanggang perlawanan antarabangsa selepas ini. Jika menang malam ini, ia boleh dianggap tempat bertuah bagi cabaran anak didik Cklamovski.

    Persoalannya, mampukah Harimau Malaya mengaum lebih garang untuk memberi satu permulaan cukup meyakinkan?

    Kemudi kapal lebih tenang

    MENARIK:  Nga elak ulas isu garis panduan hadir acara bukan Islam

    Adakah mereka sudah benar-benar bersedia memasang impian besar mahu layak ke pusingan akhir kancah saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi?

    Penulis percaya skuad negara akan memberikan satu persembahan 'agak berlainan’ berpandukan kepada sistem yang mahu diterapkan oleh Cklamovski.

    Satu lagi tarikan di SSI malam ini ialah kepulangan penuh emosi pemain sayap, Faisal Halim, untuk mewakili semula skuad negara buat pertama kali sejak menyepi hampir setahun kesan kecederaan parah akibat disimbah asid pada 5 Mei tahun lalu.

    Penonton sudah lama merindui kelibatnya.

    Mentaliti skuad dijangka akan lebih terarah kepada komitmen mahu menang pada malam ini. Sepatutnya begitulah - tiada istilah seri, apa lagi kalah dan menyerah - untuk beraksi di bumi sendiri.

    Jika diberi peluang beraksi dalam pertemuan ini, setiap pemain pastinya mahu memanfaatkan kehadiran mereka atas gelanggang untuk memikat perhatian pengendali mereka.

    Ia adalah untuk mencari cengkaman awal dapat diselitkan dalam kesebelasan utama.

    Mohd Joehari Mohd Ayub

    Peminat percaya Cklamovski ada mantera tersendiri untuk mengubah selera persembahan anak didiknya. Pemain juga percaya mereka mendapat seorang nahkoda yang mampu mengemudi kapal dengan lebih tenang kali ini.

    Tumpuan juga akan terarah kepada muka terkini yang menjadi pemain warisan. Mereka ialah pemain kelahiran Belanda, Hector Hevel, dan pemain berasal dari Sepanyol, Gabriel Palermo, yang baru hadir di Malaysia pada minggu ini.

    Nepal pula tidak seperti Malaysia. Skuad kebangsaan itu akan hadir 100 peratus berbekal pemain tempatan mereka untuk membuktikan sesuatu.

    Skuad bergelar Gorkhalis itu kini mendapat sentuhan jurulatih baru, Matt Ross - yang juga seperti Cklamovski - berasal dari Australia.

    Mereka tiba di negara ini dengan satu inspirasi baru selepas mengejutkan Singapura 1-0 dalam perlawanan persahabatan pada minggu lalu.

    Ross juga memberi amaran kunjungan mereka ke Johor bukan untuk seri kerana pada tanggapannya, persepsi seperti itu boleh membawa kepada kekalahan.

    Ringkasnya, Nepal juga seperti Malaysia - mahu menang perlawanan pertama yang dianggap penting bagi survival skuad tersebut dalam kempen kali ini.

    Jadi, jangan melihat kepada ranking Fifa sebagai petunjuk atau peramal awal siapa akan menang. Malaysia kini menghuni tangga ke-132 manakala Nepal jauh sedikit pada 175.

    Cuma suntikan semangat adalah rekod kemenangan daripada tiga pertemuan lalu memihak kita. Ini termasuk ketika membelasah lawan 5-1 dalam aksi persahabatan di Shah Alam pada Mac, tahun lalu.

    Dalam saingan kelayakan Kumpulan F, selain Nepal, skuad Harimau Malaya akan berdepan ujian getir daripada pasukan pilihan, Vietnam dan Laos.

    Jika menang nanti, apakah Joehari akan teruskan hajat untuk melantik Hamidin sebagai presiden kehormat? Atau, dia mungkin berubah pendapat untuk berikhtiar memacu FAM dengan caranya sendiri bersama exco miliknya?


    V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah